Imam Ibnul Wardi


Inspirasi Qurani Meriahkan Ramadhan

Bicara Kebaikan

[Insert link title here]

Iqra' Mudah Meriahkan Ramadhan

Sabtu, 22 Jun 2013

Nota 2 ; Tetapkan Matlamatmu


Wahai Adikku,

Pengurusan masa yang baik tidak dapat dipisahkan dari kecemerlangan. Kecemerlangan pula tidak akan dapat dipisahkan dari tiga sisi, iaitu matlamat, cita-cita dan impian. Hakikatnya, amal ibadah Islam amat mengambil berat mengenai perihal masa. Latihan-latihan yang terdapat di dalamnya mampu mendidik umat menjadi pengurus masa yang baik. Matlamat ubudiyyah yang digariskan dalam al-Quran kepada seluruh umat manusia tidak sekadar maklumat kosong, bahkan Allah turunkan aplikasi-aplikasi dalam merealisasikannya. Lihatlah bagaimana Islam mendidik umatnya :

Solat Fardhu 5 waktu

Solat fardhu yang menjadi kewajipan umat Islam yang mukallaf terikat dengan waktu-waktu tertentu. Mereka yang memeliharanya pasti akan sentiasa peka dengan waktu kerana solat yang dikerjakan di luar waktu tergolong dalam golongan orang-orang yang lalai, bahkan boleh tergolong dalam golongan yang melalai-lalaikan solat yang boleh mengundang kerugian pada diri sendiri kerana mengakibatkan dosa.

Allah s.w.t. ada berfirman dalam al-Quran :

"Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan." (Surah Maryam : 59)

Berhubung ayat ini, Abdullah ibnu 'Abbas berkata :

"Maksud ayat 'mensia-siakan solat' bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewat-lewatkannya dari waktunya."

Imam Said Ibnu al-Musayyib mempunyai pendapat yang sama dengan ibnu Abbas. Beliau berkata :

"Mereka melaksanakan solat zohor di dalam waktu asar, solat asar di dalam waktu maghrib, solat maghrib di dalam waktu isyak, solat isyak di tangguhkan sehingga waktu subuh dan solat subuh di laksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati di dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik."

Puasa Ramadhan

Puasa di dalam bulan ramadhan melatih umat Islam untuk menjadi pengurus masa yang baik kerana sebelum berpuasa, mereka wajib pastikan dahulu tarikh satu ramadhan, samada dengan menggunakan sistem rukyah ataupun hisab. Selepas itu, umat Islam wajib berpuasa bermula dari masuknya waktu subuh sehingga masuknya waktu maghrib setiap hari selama sebulan. Jika seseorang muslim membuka puasanya seminit lebih awal dari waktu maghrib, puasanya di anggap batal.

Demikian pula, jika setelah masuknya waktu subuh seseorang masih menjamu makanan secara sedar walaupun hanya sekadar  lebih 1 minit sahaja daripada masuknya waktu subuh. Seseorang muslim yang meninggalkan puasa ramadhan dengan sengaja dan ingin menggantikannya pada waktu yang lain, maka nilainya di sisi Allah s.w.t. sudah tidak setaraf dengan apa yang ditawarkan di dalam bulan ramadhan. Semua ini melatih umat Islam menjadi golongan yang memandang penting ketepatan masa di dalam kehidupan mereka.

Zakat & Haji

Ibadah zakat dan haji juga mempunyai latihan yang berkaitan dengan pengurusan masa. Sebagai contoh, zakat harta benda yang merangkumi binatang ternakan, tanam-tanaman, emas, perak serta barang perniagaan, wajib dikeluarkan apabila cukup 'nisab' dan 'haulnya'. Haul bermaksud genap setahun peredaran masa. Justeru untuk mengeluarkan zakat, seseorang perlu prihatin dengan masa di samping sentiasa mengemaskinikan rekod perniagaan dan harta bendanya. Perlaksanaan ibadah haji juga tidak terlepas daripada latihan pengurusan masa kerana ibadah ini hanya sah di lakukan pada bulan dan masa yang tertentu.

Kesan daripada matlamat ubudiyyah yang dijelaskan dan amalan-amalan praktikal ke arah merealisasikan matlamat ubudiyyah yang dibentangkan ini, maka lahirlah umat yang produktif yang tidak membuang masa mereka dalam perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah.

Tetapkan Matlamat, Realisasikan Cita-Cita, Penuhi Segala Impian..

APA?

BILA?

KENAPA?

BAGAIMANA?

1. Matlamat yang digariskan al-Quran

    APA?
    Mengabdikan Diri kepada Allah s.w.t.

    Bila?
    Sejak aqil baligh sehingga meninggal dunia

    Kenapa?
    Hasanah di dunia dan hasanah di akhirat

    Bagaimana?
    Melaksanakan segala perintah meninggalkan segala larangan Allah s.w.t.
    - Mendirikan solat
    - Berpuasa di bulan Ramadhan
    - Mengeluarkan Zakat
    - Menunaikan ibadah haji
    - DLL ketaatan yang di anjurkan

2. Matlamat Perjuangan Islam

   Apa?
   Menegakkan Kalimah Laa Ilaha Illa Allah (syariat) di muka bumi (khilafah)

   Bila?
   Sepanjang hayat

   Kenapa?
   Melaksanakan Kewajipan sebagai khalifah di muka bumi milik Allah

   Bagaimana?
   - Fardhul Muslim
   - Baitul Muslim
   - Masyarakat Muslim
   - Negara Islam
   - Khilafah Islamiyyah

3. Matlamat Hidup Peribadi

   Apa?

   Bila?

   Kenapa?

   Bagaimana?

   Sesunguhnya kamu lebih tahu apa, bila, kenapa dan bagaimana yang harus kamu jelaskan pada dirmu sendiri. Apa yang penting kamu jelas akan matlamat kamu, inshaa Allah , Allah akan bukakan jalan untukmu sedikit demi sedikit. Orang yang tidak memiliki matlamat yang jelas akan banyak membazirkan masa hidupnya dengan perbuatan yang sia-sia.



Justeru Adikku,

TETAPKANLAH MATLAMATMU!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan