Imam Ibnul Wardi


Inspirasi Qurani Meriahkan Ramadhan

Bicara Kebaikan

[Insert link title here]

Iqra' Mudah Meriahkan Ramadhan

Selasa, 9 November 2010

Memaknakan Sebuah Pengorbanan


Sungguh banyak kisah dalam sejarah kehidupan manusia yang dapat menjadi contoh sebuah pengorbanan, baik dalam kisah orang terdahulu sebelum Nabi Muhammad saw, mahupun kisah pengorbanan baginda s.a.w. dan para  sahabatnya, dan kisah-kisah perjuangan umat sesudahnya sampai saat ini. Bulan zulhijjah yang cukup sinonim dengan kisah pengorbanan yang perlu kita sama-sama dan hayati sejarah umat-umat terdahulu agar dapa kita jadikan panduan dan pembakar semangat dalam menggalas peranan dan tanggungjawab dalam meneruskan perjuangan mereka untuk menegakkan agama Allah s.w.t. dalam kehidupan kita dan umat manusia seluruhnya.

Perhatikan sejarah Nabi Nuh a.s, 950 tahun waktunya dia korbankan untuk menyeru kaumnya untuk berbakti dan beribadah kepada Allah, tapi tidak ada yang menghiraukan seruannya kecuali sedikit, dan bahkan istri dan putranya sendiri tidak beriman kepadanya.

Beratnya penanggungan jiwa nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s ketika diperintah melakukan penyembelihan. Tiada bandingan dengan pengorbanan penyembelihan haiwan ternakan.Malah habuan segera diberikan oleh Allah s.w.t. dengan memakan daging korban tersebut. Sedangkan Nabi Ibrahim bakal kehilangan anak tersayang. Tentu naluri kebapaan beliau tidak sanggup berpisah dengan  anaknya. Namun, rasa kehambaan penyerahan kepada Allah s.w.t. mengatasi segala-galanya. Demikian pula dengan nabi Ismail a.s yang bakal mengakhiri hidupnya di tangan bapanya sendiri. Namun kerelaan beliau itu lambang pengorbanan suci dari seorang hamba kepada Allah s.w.t.

Keringat yang dialirkan oleh baginda Rasulullah s.a.w., titisan darah yang mengalir ketika Perang Uhud, susah -payah berhijrah ke Madinah, sabar menerima tekanan dan seksaan kaum Musyrikin dan pelbagai macam lagi derita yang dilalui baginda tidak lain dan tidak bukan SEMUA itu adalah untuk KITA... UNTUK KITA ... Semata-mata untuk pastikan ummatnya ini selamat dan sejahtera di hadapan Allah s.w.t. di akhirat nanti, maka segala halangan dan derita sanggup ditempuhi oleh Rasulullah s.a.w.

Saidina Abu Bakar pernah ditanya apabila beliau sanggup mengorbankan semua hartanya di jalan Allah, apalagi yang tinggal untuknya? Beliau menjawab : “Allah dan Rasul-Nya!”. Saidina ‘Umar al-Khattab pernah berkata : “Aku tidak dapat tidur di siang hari kerana bimbang urusan aku dengan rakyat tidak selesai, dan aku tidak dapat tidur di malam hari kerana bimbang kalau urusan aku dengan Tuhanku tidak selesai”. Demikian pula para sahabat yang lainnya, mereka sanggup menukar ganti nyawa mereka demi untuk kemuliaan Islam kerana Allah s.w.t.

Perhatikan pula kisah pengorbanan sahabat mulia Mush'ab bin Umair. la adalah seorang pemuda bangsawan Quraisy, gagah, tampan, kaya dan terhormat, namun beliau mengorbankan semua kehormatannya di masa jahiliyah menuju kehormatan di masa Islam, walaupun harus berpisah dengan keluarganya. Bahkan ibu yang sangat mencintainya mengancam akan bunuh diri apabila puteranya tetap memeluk agama Islam. Namun Mush'ab si pemuda tampan itu tetap memilih Islam, sehingga menemukan syahadah di perang Uhud, saat itu beliau hanya memakai sehelai baju, yang sekaligus menjadi kafannya, yang apabila wajahnya ditutup maka kakinya tersingkap, dan apabila kakinya ditutup maka wajahnnya terbuka. Kerana dengan pengorbanan itulah Mush'ab menggapai cinta Tuhannya dan menghuni taman-taman Syurga serta diiringi oleh 70 bidadari.

Demikian pula kisah pengorbanan ulama pendakwah kontemporeri terkemuka, Sayyid Qutb. la mengorbankan ilmu, hidup, harta dan bahkan "kedudukan terhormat" sebagai menteri pendidikan yang dijanjikan oleh Presiden Jamal Abdul Nasr apabila ia ingin merubah prinsip-prinsipnya. Tetapi sesuatu yang telah menjadi prinsip hidup bagi Sayyid tetap menjadi prinsip, walaupun harus mengalami penyeksaan di penjara dan menjemput syahadah di tali gantung.

Itulah beberapa kisah pengorbanan tokoh-tokoh sejarah kemanusiaan. Dan sejarah manusia yang masih akan berlangsung sampai hari kiamat, akan selalu mencatat dan meminta para pelaku sejarah yang berani mengorbankan diri, harta, waktu dan segala yang ia memiliki dalam rangka mempertahankan kebenaran."

Bagaimana dalam konteks hari ini, sungguh banyak di hadapan kita peluang untuk berkorban. terutama kerana kebenaran telah didominasi oleh kejahatan, jumlah pelaku kebenaran jauh lebih sedikit dari jumlah pelaku kejahatan, dan pelaku kebenaran jauh lebih lemah dari berbagai kekuatan yang dimiliki para pelaku kejahatan; kekuatan politik, ekonomi, fizik dan lain sebagainya ada di tangan mereka.

Tapi, jangan berkecil hati dulu!! Kerana sumber kekuatan Rasulullah, para sahabat, ulama kontemporeri, dan sebagainya, adalah sumber kekuatan kita juga, iaitu Allah SWT, la Allah kekuatan yang sesungguhnya. Dan Allah akan bersama kita, apabila kita ingin mengikuti jalannya para Rasul, iaitu berjuang dan berkorban merebut kekuatan-kekuatan mereka, berjuang memperbanyak jumlah pelaku kebaikan, sehingga pada gilirannya kebenaran akan menjadi jaya, dan sebaliknya kebatilan akan runtuh.

Walaupun dalam perjuangan itu banyak harta yang habis serta jiwa yang gugur, tetapi sejarah kemanusiaan akan mencatatnya sebagai buah bibir generasi-generasi mendatang, dan Allah akan memberinya kedudukan yang mulia di sisi-Nya.

PENGORBANAN KITA DAN MEREKA

Berkorban, untuk siapa, itu bergantung kepada keadaan. Kadang-kadang kita perlu berkorban, untuk mereka di sekeliling kita. Ada kalanya, kita juga perlu berkorban untuk mereka yang tak pernah kita jumpa dan kenal. Jangan pernah kita lupa, cerita cinta agung, junjungan besar Muhammad SAW yang mulia. Betapa banyak pengorbanan yang dipertaruhkan demi melihat ummat selepasnya menerima cahaya kebenaran. Betapa banyak derita yang dilalui demi memastikan agama tauhidlah yang kita anuti. Baginda tidak pernah mengenali kita, apatah lagi berjumpa dengan kita, ummat selepas kewafatannya. Tetapi kesan pengorbanannya kita rasai hari ini. Kesan cintanya kita nikmati sehingga kini, ajaran Islam yang diperjuangkannya kerana Allah. Itu kisah Rasulullah SAW bersama sayangnya kepada ummat, bersama cintaNya kepada Yang Maha Esa. Kisah kita?

Lihat pula ibu bapa kita. Setinggi mana pengorbanan mereka membesarkan anak-anak yang dikasihi. Selapang mana hati mereka memberikan apa yang terbaik untuk anak-anak tercinta mereka rasai. Tak kisah berhujan panas berpenat lelah demi mencari sesuap rezeki. Semuanya demi melihat anak tersayang hidup bahagia serba cukup semuanya. Tetapi adakah mereka mengharapkan balasan daripada anak-anak mereka atas setiap keringat yang diperah? Adakah mereka mengharapkan bayaran daripada anak-anak mereka atas setiap lelah yang dirasa? Pengorbanan mereka tiada siapa mampu membalasnya. Itu mereka. Kita?

Kita. Berkorban untuk ibu bapa? Seakan janggal bunyinya. Kepada orang tua, saya kira sepatutnya tiada istilah pengorbanan untuk mereka, tetapi ia adalah suatu KEWAJIPAN dan SURUHAN yang Allah letakkan untuk kita berikan yang terbaik untuk mereka selagi masih bernyawa. Segalanya, hanya yang terbaik untuk mereka.

Berkorban untuk sahabat? Pernah buat? Andai sayang kita kepada kawan itu yang sebenar, kasih kita kepada sahabat itu yang sejati, tiada halangan untuk kita berkorban untuknya. Siapa yang tidak ingat. Kisah As-Siddiq mempertaruhkan nyawa demi kekasihnya, junjungan mulia nabi kita. Ketika hanya berdua di dalam gua kelam, dia sedaya upaya menahan bisa yang menular, hanya untuk memastikan kekasih hati lena dengan aman di atas ribanya. Tidak sampai hati… Ada yang lupa? Kisah Mus’ab dan para sahabat di perang Uhud mengepung dan mempertahankan nabi yang dikasihi di saat paling genting, ketika Baginda dijadikan sasaran puak musyrikin, sehingga ada yang syahid, rebah ke bumi. Pengorbanan yang hanya Allah mampu memberi ganjaran. Apa pula cerita kita dan sahabat sendiri? Pernah rasa?

Bagaimana pula berkorban untuk ummat? Pasti ramai yang mengerut dahi. Mampukah kita di zaman ini? Berkorban harta atau nyawa. Kita belum mampu melaksanakannya, kerana kita belum sepenuhnya kasih kepada ummat. Kita belum sepenuhnya cinta kepada mereka. Sudahnya, yang berperang terus sengsara, yang kebuluruan terus kelaparan, yang lemah terus tertindas, yang miskin terus dilupakan. Itu kisah kita dan pengorbanan untuk ummat yang masih belum terlaksana. Gembira?

 BERKORBAN, APA YANG KITA HARAPKAN?

Pengorbanan, sesuatu yang anda lakukan tanpa memikirkan kepentingan sendiri. Ya, itu betul. Ironinya, ada yang selepas berkorban mengungkit semula cerita kebaikannya, mengungkit semula kisah pengorbanannya, kononnya dia telah melakukan segalanya. Ada yang mengungkit semula, kerana merasakan pengorbanannya sia-sia dan tidak dihargai insan sekelilingnya, merasakan pengorbanannya tidak mendatangkan kebaikan dan sebarang balasan. Tanya diri soal hati. Adakah kita melakukan pengorbanan untuk orang lain dengan harapan ada yang berkorban untuk kita suatu masa nanti?

Pengorbanan bukan untuk dikenang sendiri dalam hati, dan bukan untuk diungkit –ungkit di hadapan orang. Itu memberi dengan mengharapkan balasan insan, bukan pengorbanan ertinya. Pengorbanan mestilah ikhlas dari hati, lahir dari kasih dan cinta yang ingin dibuktikan. Untuk setiap pengorbanan kamu kepada sahabat, untuk setiap yang kamu korbankan untuk ummat, jangan harapkan balasan dari insan. 

Berkorbanlah, tak kira untuk siapa. Untuk keluarga, untuk sahabat, untuk ummat dan mereka di sekelilingmu. Tetapi kerana siapa kita berkorban, itu yang menjadi keutamaan. Berkorban kerana makhluk, mereka tidak punya apa untuk diberi sebagai balasan.

Berkorbanlah kerana Allah, di situ ada nilai ibadah seorang hamba, hanya Dia Yang Maha Kaya mampu membalasnya. Berkorban, ketepikan kepentingan diri, dan lepaskan apa yang kamu miliki dan yang paling kamu sayangi, demi Allah, dan yakinlah ganjarannya hanya yang terbaik di sisiNya Yang Maha Memiliki dan Punya segalanya.

“…sesungguhnya solatku, perbuatanku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Taala…”

Selamat belajar dan menghayati apa itu pengorbanan, dan carilah variasi pengertiannya dalam hidup kita seharian.

Wallahua’lam.

al-Faqir Ilallah,
Ibnu Jamal as-Sabahi
Musafir Sebuah Perjalanan Yang Panjang...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan