Imam Ibnul Wardi


Inspirasi Qurani Meriahkan Ramadhan

Bicara Kebaikan

[Insert link title here]

Iqra' Mudah Meriahkan Ramadhan

Sabtu, 22 Jun 2013

Nota 2 ; Tetapkan Matlamatmu


Wahai Adikku,

Pengurusan masa yang baik tidak dapat dipisahkan dari kecemerlangan. Kecemerlangan pula tidak akan dapat dipisahkan dari tiga sisi, iaitu matlamat, cita-cita dan impian. Hakikatnya, amal ibadah Islam amat mengambil berat mengenai perihal masa. Latihan-latihan yang terdapat di dalamnya mampu mendidik umat menjadi pengurus masa yang baik. Matlamat ubudiyyah yang digariskan dalam al-Quran kepada seluruh umat manusia tidak sekadar maklumat kosong, bahkan Allah turunkan aplikasi-aplikasi dalam merealisasikannya. Lihatlah bagaimana Islam mendidik umatnya :

Solat Fardhu 5 waktu

Solat fardhu yang menjadi kewajipan umat Islam yang mukallaf terikat dengan waktu-waktu tertentu. Mereka yang memeliharanya pasti akan sentiasa peka dengan waktu kerana solat yang dikerjakan di luar waktu tergolong dalam golongan orang-orang yang lalai, bahkan boleh tergolong dalam golongan yang melalai-lalaikan solat yang boleh mengundang kerugian pada diri sendiri kerana mengakibatkan dosa.

Allah s.w.t. ada berfirman dalam al-Quran :

"Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka akan menemui kesesatan." (Surah Maryam : 59)

Berhubung ayat ini, Abdullah ibnu 'Abbas berkata :

"Maksud ayat 'mensia-siakan solat' bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewat-lewatkannya dari waktunya."

Imam Said Ibnu al-Musayyib mempunyai pendapat yang sama dengan ibnu Abbas. Beliau berkata :

"Mereka melaksanakan solat zohor di dalam waktu asar, solat asar di dalam waktu maghrib, solat maghrib di dalam waktu isyak, solat isyak di tangguhkan sehingga waktu subuh dan solat subuh di laksanakan selepas matahari terbit. Sesiapa yang mati di dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke dalam neraka dan diberikan makanan yang teramat jijik."

Puasa Ramadhan

Puasa di dalam bulan ramadhan melatih umat Islam untuk menjadi pengurus masa yang baik kerana sebelum berpuasa, mereka wajib pastikan dahulu tarikh satu ramadhan, samada dengan menggunakan sistem rukyah ataupun hisab. Selepas itu, umat Islam wajib berpuasa bermula dari masuknya waktu subuh sehingga masuknya waktu maghrib setiap hari selama sebulan. Jika seseorang muslim membuka puasanya seminit lebih awal dari waktu maghrib, puasanya di anggap batal.

Demikian pula, jika setelah masuknya waktu subuh seseorang masih menjamu makanan secara sedar walaupun hanya sekadar  lebih 1 minit sahaja daripada masuknya waktu subuh. Seseorang muslim yang meninggalkan puasa ramadhan dengan sengaja dan ingin menggantikannya pada waktu yang lain, maka nilainya di sisi Allah s.w.t. sudah tidak setaraf dengan apa yang ditawarkan di dalam bulan ramadhan. Semua ini melatih umat Islam menjadi golongan yang memandang penting ketepatan masa di dalam kehidupan mereka.

Zakat & Haji

Ibadah zakat dan haji juga mempunyai latihan yang berkaitan dengan pengurusan masa. Sebagai contoh, zakat harta benda yang merangkumi binatang ternakan, tanam-tanaman, emas, perak serta barang perniagaan, wajib dikeluarkan apabila cukup 'nisab' dan 'haulnya'. Haul bermaksud genap setahun peredaran masa. Justeru untuk mengeluarkan zakat, seseorang perlu prihatin dengan masa di samping sentiasa mengemaskinikan rekod perniagaan dan harta bendanya. Perlaksanaan ibadah haji juga tidak terlepas daripada latihan pengurusan masa kerana ibadah ini hanya sah di lakukan pada bulan dan masa yang tertentu.

Kesan daripada matlamat ubudiyyah yang dijelaskan dan amalan-amalan praktikal ke arah merealisasikan matlamat ubudiyyah yang dibentangkan ini, maka lahirlah umat yang produktif yang tidak membuang masa mereka dalam perkara-perkara yang sia-sia dan tidak berfaedah.

Tetapkan Matlamat, Realisasikan Cita-Cita, Penuhi Segala Impian..

APA?

BILA?

KENAPA?

BAGAIMANA?

1. Matlamat yang digariskan al-Quran

    APA?
    Mengabdikan Diri kepada Allah s.w.t.

    Bila?
    Sejak aqil baligh sehingga meninggal dunia

    Kenapa?
    Hasanah di dunia dan hasanah di akhirat

    Bagaimana?
    Melaksanakan segala perintah meninggalkan segala larangan Allah s.w.t.
    - Mendirikan solat
    - Berpuasa di bulan Ramadhan
    - Mengeluarkan Zakat
    - Menunaikan ibadah haji
    - DLL ketaatan yang di anjurkan

2. Matlamat Perjuangan Islam

   Apa?
   Menegakkan Kalimah Laa Ilaha Illa Allah (syariat) di muka bumi (khilafah)

   Bila?
   Sepanjang hayat

   Kenapa?
   Melaksanakan Kewajipan sebagai khalifah di muka bumi milik Allah

   Bagaimana?
   - Fardhul Muslim
   - Baitul Muslim
   - Masyarakat Muslim
   - Negara Islam
   - Khilafah Islamiyyah

3. Matlamat Hidup Peribadi

   Apa?

   Bila?

   Kenapa?

   Bagaimana?

   Sesunguhnya kamu lebih tahu apa, bila, kenapa dan bagaimana yang harus kamu jelaskan pada dirmu sendiri. Apa yang penting kamu jelas akan matlamat kamu, inshaa Allah , Allah akan bukakan jalan untukmu sedikit demi sedikit. Orang yang tidak memiliki matlamat yang jelas akan banyak membazirkan masa hidupnya dengan perbuatan yang sia-sia.



Justeru Adikku,

TETAPKANLAH MATLAMATMU!!!


Isnin, 17 Jun 2013

NOTA 1 : IKHLASKAN NIATMU

Maksud firman Allah s.w.t. :

"...Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepada-Nya, lagi tetrap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Al-Bayyinah : 5)


Ketahuilah Adikku,

Ikhlas bermaksud, menumpukan niat bagi setiap kerja ibadat atau amalan semata-mata kerana Allah dan untuk Allah. Ikhlas yang sebenar-benarnya ikhlas sudah tentulah bersih hati daripada unsur riyaknifaq dan ‘ujub.

Riyak adalah sejenis sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan baik yang dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan. Berhati-hatilah dengan keimananmu tatkala engkau bersemangat untuk memperbanyakkan ibadah sunnah, memperbaiki cara solat yang wajib ketika di khalayak manusia sedangkan Allah tahu hatimu yang seandainya engkau bersendirian, nescaya engkau tidak akan melakukan sebagaimana yang demikian.Nifaq adalah sikap yang didorong oleh pertimbangan untuk merangkul kepentingan duniawi yang terkadang berselindung disebalik perwatakan agama untuk sampai kepada tujuannya. Adakalanya orang yang memiliki sikap ini sanggup menjual agamanya untuk mendapat bayaran kesenangan dunia

'Ujub pula berkait rapat dengan takbur dan riyak, iaitu berasa kagum dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri sehingga melupakan kepada pemberi nikmat. Umpama seseorang yang memiliki ilmu dan harta kekayaan merasakan ianya terhasil dari usahanya semata-mata sehingga ia lupa bahawa Allah s.w.t. yang memudahkan untuknya.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barangsiapa hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehinya atau perempuan yang ia ingin mengahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.”(HR. Bukhari &Muslim)

Wahai Adikku,

Hadith tersebut memberikan pengertian kepadamu bahawa, “diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya.” Dan yang dimaksudkan amal itu adalah segala amal perbuatan yang dibenarkan syariat.

Engkau menuntut ilmu misalnya, tanpa keikhlasan padanya dibimbangi ia yang pada asalnya adalah perbuatan yang dituntut syariat menjadi perbuatan yang bakal mengundang kebinasaan dan kerugian pada dirimu sendiri kerana dikatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengkhabarkan, “Berapa banyak daripada amalan-amalan yang berupa amalan-amalan dunia yang menjadi amalan akhirat disebabkan keelokan niatnya, dan berapa banyak amalan-amalan yang berupa akhirat kemudian menjadi sia-sia amalan dengan niatnya yang jahat.”

Kata Imam As-Syahid Hasan Al-Banna :

“Apa yang aku maksudkan dengan ikhlas ialah ; setiap kata-kata, ‘amalan, dan mujahadah saudara muslim demi Allah, untuk mencari keredhaan-Nya dan ganjaran baik darinya tanpa memandang kepada sebarang imbuhan, kemegahan, gelaran, terkemuka atau tidaknya. Dengan itu, ia menjadi seorang Jundi (tentera/pengikut) demi fikrah Islam, ‘Aqidah yang benar, dan bukannya pengikut demi kebendaan dan kepentingan. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud : “Katakanlah olehmu: Sesungguhnya solatku, ‘ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Tuhan alam semesta. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian itulah aku diperintahkan.” (Al-An’am : 162).

Hadamkan baik-baik rangkaian kata-kata ini ;

الله غايتنا
Allah Matlamat Kami

الرسول قدوتنا
Rasulullah s.w.t. Contoh Ikutan Kami

القرآن دستورنا
Al-Quran Panduan Hidup Kami

الجهاد سبيلنا
Jihad Adalah Jalan Kami

الموت فى سبيل الله أسما أمانينا
Mati di Jalan Allah Adalah Cita-Cita Tertinggi Kami


Wahai Adikku,

Diceritakan dalam sebuah kisah, terdapat seorang tukang kayu yang begitu dedikasi di dalam pekerjaannya menyatakan hasratnya kepada majikannya untuk bersara daripada kerja. Dia yang telah lama bekerja iaitu hampir 20 tahun, telah sampainya masanya untuk dia berehat dan pergi bercuti. Selepas menyatakan hasrat itu, majikannya berasa sangat sedih kerana dia seorang pekerja yang sangat rajin dan bagus. Kemudian majikannya meminta pekerjanya menyiapkan satu projek terakhir sebelum dia pergi bercuti dan bersara, iaitu membuat satu rumah.

Pekerja yang tadi begitu bersemangat untuk bercuti merasa berat hati menerima tugasan daripada majikannya. Namun, dia terima juga kerja itu dengan separuh hati kerana mengenangkan majikannya telah banyak berjasa kepadanya dan ia merupakan kawan baiknya. Dia akhirnya menyiapkan rumah tadi dengan ala kadar sahaja kerana hatinya sudah tidak berada di situ. Dia cuba menyiapkan rumah itu dengan cepat dan apabila telah siap, dia menyerahkan kunci kepada majikannya. Apa yang sedihnya, dia seorang pekerja yang sangat bagus dan cemerlang menyiapkan satu projek terakhir yang cincai. TETAPI....

"Tuan, ini kuci rumah yang telah siap", kata pekerja itu.

"Oh...tak apa, awak simpan sahaja kunci itu. Sebenarnya rumah itu adalah milik awak sebagai tanda penghargaan dan hadiah daripada saya setelah sekian lama awak bekerja dengan saya", kata majikannya.

Pekerja itu terkejut dan tercegang kerana tidak sangka rumah itu akan menjadi miliknya. Pekerja tadi merasa hampa dan sedih kerana rumah tadi dia buat dengan ala kadar sahaja, ukiran yang tidak cantik dan banyak kelemahan pada rumah tersebut. Jika dia tahu rumah itu adalah miliknya, tentu dia akan membuat yang terbaik dan tercantik. Tetapi sudah terlambat....


Wahai Adikku,

Kisah tadi sebenarnya menunjukkan bahawa itulah gambaran dunia yang tersurat tentang dirimu. Lantas apakah yang tersirat mampu engkau selami agar engkau dapat memahami bahawa segala amal yang engkau kerjakan di muka bumi Allah ini merupakan tuaian yang hasilnya pasti akan engkau terima sendiri di hadapan Allah s.w.t. kelak.

“... pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka(6). maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!(8)”(Al-Zalzalah ; 6-8)



Wahai Adikku,

Ketahuilah olehmu! Syaitan akan menyelinap masuk di dalam hati manusia untuk merosakkan amalan dengan rasa ujub dan riya’. Orang yang tidak mempunyai keikhlasan, pasti Allah akan biarkan mereka itu terperangkap di dalam jerat ujub dan riya’ yang merupakan jerat syaitan dan hawa nafsu. Bila Allah biarkan yang sedemikian, maka nerakalah tempat kembalinya.

Oleh itu, hati-hatilah di dalam melakukan setiap amalan dan pohonlah pimpinan Allah agar setiap amalan yang kita lakukan adalah kerana mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan bukan untuk kepentingan diri dan hawa nafsu sendiri.


By : Intelektual Sufi
Istiqomah Centre (I.C.)
Kampung Baru Pusu Tiga,
Kuala Terengganu, Terengganu.
07.38am

Ahad, 16 Jun 2013

2 hari bersama WJA 6130...

Setelah menjalani ujibakat program Imam Muda pada tahun 2010 yang lalu, kini diberikan peluang untuk menghadiri satu sesi ujibakat terbuka bagi Pengacara Program TV Al-Hijrah pada 16 Jun (Semalam) di Stesen TV Al-Hijrah...

Suatu perjalanan yang tidak begitu terancang kerana informasi mengenai program ujibakat tersebut diketahui agak lewat yang kebetulan masa itu baru balik dari kelantan seusai menghadiri Bengkel Maqasid Syariah di Kolej Islam Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri.

15/06/2013 (Sabtu)


Alhamdulillah, pendedahan mengenai ilmu maqosid yang di sampaikan oleh penyampainya sedikit sebanyak membuka jalan ke arah lebih memahami konsep & aplikasinya dalam konteks semasa. Keperluan kepadanya jelas kelihatan daripada contoh-contoh yang diketengahkan. Namun, bengkel setengah hari bukanlah lesen untuk menggunakannya dengan sewenang-wenangnya ilmu tersebut, bahkan masih berhajat kepada penelitian dan kajian dengan lebih terperinci..

F.O.K.U.S

Setelah bengkel selesai, mengambil langkah untuk terus balik ke Kuala Terengganu kerana perlu membuat sedikit persediaan tazkirah bagi Program Jelajah Musollah siri 2 yang berlangsung di Surau Saodah, UniSZA. Tajuk yang diberikan penganjur sangat menarik untuk di hayati bersama. "Mahabbah Rasulillah ; Mujahadah Itu Bukti Cinta".

Hakikat cinta tidak terhenti pada keindahan kata-kata pujian dan alunan yang berbunga-bunga, bahkan ia lebih dari itu. Qasidah adalah lantunan selawat yang memuji keperibadian dan kemuliaan nabi s.a.w. namun, untuk mengatakan kita benar-benar cinta akan Rasulullah s.a.w. tidak cukup sekadar itu... Medan yang luas, dimensi yang pelbagai yang harus dicontohi daripada keperibadian Rasulullah harus diteliti, dihayati dan dicontohi. 

Setelah selesai sekitar 9.30 Malam, meminta izin penganjur untuk bergegas awal kerana perlu bertolak ke Kuala Lumpur pada malam itu juga kerana ingin menghadiri ujibakat Pengacara Program Tv-Al-Hijrah pada keesokan harinya.

11.00pm 
Memulakan permusafiran, dengan doa dan tawakkal kepada Allah s.w.t. semoga aman perjalanan dan dipermudahkan dalam suasana keletihan yang belum reda. Sebuah perjalanan yang sarat dengan cabaran dan kesukaran serta risiko (sangat2 mengantuk).

16/06/2013 (Ahad)
Alhamdulillah, selamat sampai di masjid negara sekitar kul 10.30am dengan ijtihad-ijtihad jalan menuju ke sana yang beberapa kali tersilap lorong, yang hanya dengan sedikit kesilapan memasuki lorong bisa menjadikan kamu stress yang bersangatan, kerana jalan u-turn sangat sukar untuk ditemui kerana kebanyakannya jalan sehala. Itulah Kuala Lumpur. 

1.30 pm
Bergegas ke Stesen TV- Al-Hijrah yang terletak sangat hampir dengan Masjid Negara. Akan tetapi perlu mendaki anak tangga yang agak tinggi jugak. Selepas solat zohor , bermulalah episod ujibakat pengacara program tv al-hijrah.



Tiba Giliran,

1. Di Minta perkenalkan diri di hadapan video perakam
2. Di aju persoalan yang saya kira ketika itu ada dalam 5 orang pengujibakat.
3. Soalan pertama mengenai background pendidikan , diploma tahfiz & Ijazah Dakwah
4. Sedikit teguran agar fokus pada kamera, bukan pada pengujibakat. (paling fail sekali-tak biasa)
5. Akhirnya, pihak tv al-hijrah akan menghubungi dalam masa 2 minggu jika ada apa2 perkara yang perlu dimaklumkan... 

Apapun, bukanlah berharap sangat untuk mendapatkannya kerana kita sedar akan hakikat diri kita siapa, namun lantaran pengalaman yang ingin ditimba, keyakinan terhadap potensi diri yang perlu diledakkan untuk manfaat diri, keluarga dan ummah menjadi inspirasi yang hadir secara spontan untuk menggagahkan diri melangkahkan kaki ke sana.



6.00 pm
Terus berangkat pulang ke kuala Terengganu...lantaran keletihan yang bertimpa2, tidak mampu memberikan fokus pemanduan, menyebabkan kerap kali berhenti. Natijahnya, sampai di Kuala Terengganu pada jam 6.00am keesokkannya. Sebuah perjalanan KL-KT memakan masa 12 Jam?

Saya tidak pasti jika ada rekod yang lebih luar biasa daripada rekod ini dengan menaiki kereta...

Kenangan Bersama WJA6130... :)

By : Intelektual Sufi

Rabu, 12 Jun 2013

Bingkisan Buat Adik-Adik...

Kem Intelektual Sufi 2010
Permusafiran dalam menyelami lautan ilmu yang sangat luas mempertemukan penulis dengan pelbagai ragam dan ranjau kehidupan dunia yang sangat menyesakkan jiwa bagi mereka yang masih memiliki secebis sensitiviti terhadap kesedaran hidup berpandukan agama.

Sebuah perjalanan yang meninggalkan himpunan-himpunan pengalaman berharga berupa mutiara ilmu yang bisa dijadikan panduan dalam meniti kehidupan di hari-hari mendatang.

Perjalanan hidup di dunia ini umpama lautan yang bergelora yang bisa menghanyutkan mereka yang leka bahkan juga bisa menenggelamkan mereka yang tidak memiliki ilmu pengetahuan yang mampu menyelamatkan diri mereka.

Kem Laa Tansa
Gelombang yang datang mengasak dari segenap penjuru adakalanya bisa melemahkan, bahkan juga bisa menumbangkan para pengembara yang menelusuri laluannya. Dunia ini sememangnya tempat ujian yang Allah titipkan untuk memuliakan para hamba-hambanya yang beriman.

Dengan kemurahan Allah s.w.t. di utuskannya Rasulullah s.a.w. sebagai pembimbing dan contoh ikutan yang bersertanya wahyu yang diturunkan (al-Quran) sebagai panduan untuk memandu kehidupan manusia yang penuh dengan ketidakpastian.

Dalam ketidakpastian ini, manusia ditaklifkan untuk memilih jalan yang terbentang dihadapannya samada jalan menuju keredhaan ataupun jalan menuju azab Allah s.w.t.


Nota buat adikku ini adalah bingkisan ilmu yang ingin dikongsikan buat panduan buat adik-adik para remaja khususnya yang ingin ditunjukkan satu jalan dalam usaha mempersiapkan diri untuk menelusuri liku-liku kehidupan yang sedang menanti di hadapan.


Semoga ianya mampu memberi sedikit sinar cahaya buat adik-adik pembaca yang budiman agar ianya bisa menerangi laluan-laluan suram yang penuh dengan persoalan demi persoalan yang tidak akan pernah selesai.

Nukilan Dari Hati,
Intelektual Sufi

Rabu, 5 Jun 2013

Kalimat Sama, Kesan Berbeza...

"Sebaris kata-kata kadangkala memiliki kuasa sentuhan yang tinggi. Ia boleh mempengaruhi tingkah laku seseorang, malah menjadi ubat pelbagai penyakit. Ironinya, kata-kata turut melahirkan kesan berbeza apabila diucapkan oleh orang yang berlainan."


Wahai Mahmud...

Pada abad ke-6 Hijrah, Syam dikuasai oleh seorang sultan yang sangat baik dan soleh. Beliau merupakan Sultan Mahmud bin Atabik Zanki yang bergelar "Nur al-Din". Beliau terkenal sebagai seorang yang sangat mencintai ilmu dan menghormati ulama.

Sultan Mahmud sering menghadiri majlis nasihat Burhanuddin Ali bin Hasan al-Hanafi di Aleppo. Al-Zahabi menyatakan berkenaan beliau : "Beliau sangat zuhud dan berpaling daripada dunia sehingga sanggat disegani dalam kerajaan."

Dalam kuliahnya, Burhanuddin sangat tegas menasihati sultan. Beliau tidak menyebut gelaran kesultanan, malah memanggil nama asal baginda tanpa segan seperti : "Wahai Mahmud..."

Selepas Burhanuddin wafat, tempatnya digantikan oleh Muhammad bin Mas'ud al-Turaithithi (w.578), seorang tokoh besar mazhab Syafi'ie. Menurut al-Zahabi, beliau sangat fasih, pandai berceramah dan pakar dalam ilmu tafsir serta fiqah.

Diriwayatkan bahawa beliau pernah menjemput Sultan Mahmud Zanki untuk menghadiri ceramahnya. Al-Turaithithi cuba meniru Burhanuddin dengan menyebut "Wahai Mahmud..." apabila menasihati sultan. Tidak beberapa kemudian, seorang pengawal membawa titah sultan agar berhenti menyebut nama sultan sebegitu.

Sultan menjelaskan : "setiap kali Burhanuddin berkata "wahai Mahmud", seluruh bulu romaku tegak kerana kewibawaannya, lalu hatiku menjadi begitu lembut kerana nasihatnya. Namun apabila orang ini berkata sebegitu, hatiku menjadi keras dan dadaku menjadi sempit."



Kata-kata adalah produk jiwa, perbaikilah jiwa, maka kalimat yang keluar akan memiliki kuasa merubah yang kuat. Kalimat ini hanya keluar daripada hati yang dekat dengan Allah dan dipenuhi sifat mahmudah. Sikap suka meniru orang lain adalah tanda kelemahan diri. Kita sering lupa bahawa masyarakat terus berkembang dan trend terus berubah. Lihatlah, berapa ramai orang yang terkenal suatu masa dahulu akhirnya tenggelam pada masa sekarang kerana bahana meniru. (Solusi , Isu 53 ; Mac 2013)



p/s : Jadilah Diri Anda Sendiri, kenali potensi diri yang bisa di manfaatkan dalam dakwah dan perjuangan kerana Allah untuk Ummat, kemudian kerahkan tenaga untuk menyerlahkannya. 1 amalan tapi berterusan itu lebih utama daripada amalan yang banyak tapi tenggelam timbul atau pasang surut.


By :

Intelektual Sufi,
08.53 am
Imtiaz Kuala Berang
Kawasan Parking Bangunan Kelas