Imam Ibnul Wardi


Inspirasi Qurani Meriahkan Ramadhan

Bicara Kebaikan

[Insert link title here]

Iqra' Mudah Meriahkan Ramadhan

Isnin, 18 November 2013

Ini Jalanku II : Allah Matlamat Kami


Setiap perkara yang ingin dilaksanakan pasti mempunyai tujuan dan matlamat yang tersendiri. Demikian halnya gerak kerja dakwah. Slogan “Allah Matlamat Kami” mengajak para du’at agar mengikhlaskan segala amal dakwah dan ketaatan samada percakapan mahupun perbuatan hanya kepada Allah s.w.t. yang merupakan pokok utama dari ajaran Islam yang mulia. Ia adalah inti kepada tauhid yang dengan misi inilah Allah s.w.t. mengutus para rasul dan menurunkan kitab-kitab. Kepadanya para nabi a.s mengajak umat mereka dan kerananya mereka mengumandangkan jihad, serta ini pulalah yang mereka perintahkan dan anjurkan kepada kaumnya untuk dilaksanakan.

Allah s.w.t. berfirman :
“…Maka beribadahlah kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Ingatlah! Hanya kepunyaan Allahlah agama yang bersih (dari syirik)…” (Az-Zumar : 2-3)

Firman-Nya lagi :
“Padahal mereka tidak diperintahkan kecuali supaya beribadah kepada Allah s.w.t. dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat…” (Al-Bayyinah : 5)

            Dengan demikian, status dan kedudukan tauhid adalah seperti tapak sebuah bangunan. Imam Ibnul Qayyim r.h. berkata : “siapa yang hendak meninggikan bangunannya, ia berkewajiban untuk mengukuhkan, memantapkan, dan sungguh-sungguh mencurahkan segala perhatiannya kepada tapaknya, kerana ketinggian sebuah bangunan sangatlah bergantung pada kekuatan dan keteguhan asasnya. Amal-amal kebaikan dan tingkatan-tingkatannya ibarat badan sebuah bangunan, sedangkan keimanan adalah asas dan tapaknya.”

            Orang yang cerdas, tentu perhatiannya terfokus pada pengukuhan tapak asasnya. Sedangkan orang yang bodoh akan terus sibuk untuk meninggikan bangunannya meskipun tanpa memperdulikan tapak tempat binaannya, sehingga dengan serta merta bangunannya boleh roboh.  Keterangan ini juga bertitik tolak daripada firman Allah s.w.t. :

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah s.w.t. telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat tetap (tegak) sedikit pun.” (Ibrahim : 24-25)

            Demikian lagi, orang yang meletakkan Allah s.w.t. sebagai matlamat utamanya akan mewujudkan penyerahan yang cukup sempurna kepada setiap arahan yang diperintahkan Allah s.w.t., dan setiap larangan yang ditegah-Nya semata-mata kerana ingin menggapai redha-Nya serta lantaran takut kepada-Nya dijadikan sebagai target dan matlamat utama tanpa mengira adakah manusia akan redha ataupun mereka marah, memuji ataupun mencela, berpaling meninggalkan ataupun menerima. Firman Allah s.w.t. :

“Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah s.w.t., dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah s.w.t. menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka, disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasiq. Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”
  (Al-Maidah : 49-50)

Bahkan, orang-orang beriman yang ikhlas, redha dan tawakkal dalam erti kata yang sebenarnya pasti akan merasa cukup dengan apa yang difirmankan Allah s.w.t. :

“Allah dan Rasul-Nya yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika benar mereka adalah orang-orang yang mukmin.” (At-Taubah : 62)

Sabda Rasulullah s.a.w. :

“Dan barangsiapa yang mencari keredhaan Allah s.w.t. dengan perkara yang menyebabkan manusia marah, Allah akan mencukupkannya daripada bergantung kepada manusia. Dan barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dengan perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t., nescaya Allah akan menyerahkan segala urusannya kepada manusia.”   
(HR. Tirmizi & Abu Nu’aim)

Ahad, 17 November 2013

INILAH JALANKU!


“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-An’am : 153)

Sudah diketahui bahawa setiap orang yang mempunyai matlamat akan berjalan di jalan yang selamat, jalan yang boleh menyampaikannya kepada matlamatnya. Ia berusaha sedaya upaya untuk mengenali jalan serta tanda-tandanya sebelum ia memulakan perjalanan agar tidak terkeliru dan tersimpang ke jalan yang lain, tidak terbuang dan tersia-sia usaha dan tenaganya, waktu dan masanya, tanpa bergerak untuk sampai ke matlamat yang ditujunya. Lazimnya orang sedemikian akan meminta bantuan daripada orang-orang yang arif dan pakar mengenai jalan tersebut untuk mendapatkan tunjuk ajar dari mereka dengan syarat orang-orang itu boleh dipercayai dan bersifat amanah dalam tunjuk ajarnya. Jika tidak, pasti ia akan tidak berpuas hati dengan tunjuk ajar yang diberikan mengenai jalan tersebut.

            Matlamat menjadi mahal, tujuan menjadi suatu yang bernilai tinggi mengikut kadar minat dan keinginan yang kuat untuk sampai kepadanya. Disinilah letaknya kepentingan untuk mengenali jalan yang benar, waspada dan berjaga-jaga mengenai liku-liku dan simpang siur yang boleh membawa seseorang itu semakin menjauhi dari matlamat asalnya, terutamanya ketika mana berada dipersimpangan yang banyak cabangnya, terkejar-kejar ke hulu dan ke hilir oleh orang yang sedia menunggu di situ lebih-lebih lagi orang-orang berkepentingan menurut hawa nafsu sehingga boleh menyimpangkan seseorang itu dari jalan yang benar. Mereka berlakon dan berlagak sebagai penasihat-penasihat yang betul-betul tulus dan jujur, tetapi sebenarnya membawa kepada lebih banyak kesamaran.

Jalan Dakwah
Jalan dakwah bermaksud jalan menuju kepada Allah, iaitu jalan menuju keredhaan dan syurga Allah, juga jalan yang telah dirintis oleh baginda Rasulullah s.a.w., dan juga jalan yang sama pernah ditelusuri oleh semua para nabi dan rasul serta jalan untuk para mukmin yang muttaqin kerana bagi mereka jalan dakwah itulah ‘Siratul Mustaqim’.

Diriwayatkan daripada Abdullah ibn Mas’ud r.a. berkata : pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. membuat garisan dengan tangan kanan baginda kemudian bersabda : “Ini adalah jalan Allah yang lurus.” Kemudian baginda s.a.w. menggariskan dengan tangan kiri baginda lantas bersabda : “Ini jalan-jalan (garisan) tidak ada mana-mana jalan melainkan di atasnya syaitan mengajak kamu semua kepadanya.” Kemudian baginda s.a.w. membaca ayat al-Quran yang bermaksud :

“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
       (Al-An’am : 153)
Dakwah Kepada Allah
Berlandaskan kepada perintah Allah s.w.t. yang mewajibkan setiap individu muslim menyampaikan dan menyebarkan islam, dakwah telah menjadi aktiviti asas yang sangat mendasar sifatnya menurut tahap dan kemampuan masing-masing.

Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna menjelaskan bahawa jalan dakwah adalah jalan yang satu. Kita wajib beriltizam dengannya, jangan menyeleweng daripadanya kerana sesungguhnya ia adalah jalan yang telah dicontohkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. Bahkan, bagindalah orang yang paling arif mengenai jalan dakwah. Beliau menjelaskan :

“Jalan dakwah adalah jalan yang satu yang pernah dilalui dan di jalani oleh Rasulullah s.a.w. dan juga para sahabatnya terdahulu. Jalan ini dilalui juga oleh para du’at dan kita juga harus berjalan di atas jalan itu insyaa-Allah, dengan taufiq dari Allah kelak berbekalkan iman, amal, kasih sayang dan persaudaraan. Kita mengajak mereka kepada beriman dan beramal, kemudian menyatukan hati-hati mereka atas kasih sayang dan persaudaraan. Maka akan terkumpullah kekuatan dan tenaga aqidah menjadi tenaga penyatuan, dan jadilah jama’ah mereka sebagai jama’ah contoh yang pasti akan menzahirkan kalimahnya dan mendapat kemenangan dakwahnya, walaupun dihalangi oleh seluruh penghuni bumi ini.”

Imam Asy-Syahid Hasan al-Banna juga telah membentangkan semula jalan dakwah Rasulullah s.a.w. dengan wajah yang baru bertepatan dengan keperluan semasa dan kehendak perubahan zaman melalui pengisytiharan beliau terhadap jalan yang beliau gagaskan dan mengajak umat islam bersama-sama untuk kembali merintisnya setelah peristiwa sejarah hitam buat umat Islam dengan runtuhnya khilafah islamiyyah pada mac 1924. Beliau menyatakan dengan jelas dan lantang :

Allah Matlamat Kami

Rasul Ikutan Kami

Al-Quran Panduan Hidup Kami

Jihad Jalan Juang Kami

\
Mati Syahid Cita-Cita Tertinggi Kami

Bersambung...