Imam Ibnul Wardi


Inspirasi Qurani Meriahkan Ramadhan

Bicara Kebaikan

[Insert link title here]

Iqra' Mudah Meriahkan Ramadhan

Rabu, 20 Februari 2013

Tiga Golongan Penuntut Ilmu








Menuntut Ilmu adalah satu perkara yang sangat dititikberatkan di dalam Islam sepertimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw di dalam satu hadis yang mahsyur :

طلب العلم فريضة على كل مسلم

Maksudnya : “Menuntut ilmu itu satu kewajipan atas setiap muslim". [Hadis Riwayat Ibnu Majah, disahihkan oleh al-Albani]

Selain itu Allah juga menjanjikan kenaikkan darjat buat orang-orang yang berilmu sepertimana firmannya yang berbunyi :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat…” [al-Mujadilah: 11]

Ayat al-Quran dan hadis di atas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya mencari ilmu pengetahuan malah ianya juga termasuk di dalam perkara ibadah yang dijanjikan ganjaran yang lumayan kepada sesiapa yang menuntut ilmu.

Sabda Rasulullah saw:

من سلك طريقا يلتمس فيه علما سهل الله له به طريقا إلى الجنة

Maksudnya: “dan barangsiapa yang keluar berjalan mencari ilmu maka dimudahkan Allah baginya jalan ke syurga..” [Muslim, Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad].

Hakikatnya pada zaman kini ramai manusia yang berlumba-lumba dalam menuntut ilmu tidak kira di mana sahaja mereka berada. Setiap orang mempunyai maksud yang tertentu dan agenda yang ingin dipenuhi dengan ilmu yang dituntut oleh mereka. Maka orang-orang yang menuntut ilmu ini bolehlah dikategorikan kepada tiga golongan.

Golongan Pertama :

Golongan yang pertama ini ialah orang yang mencari ilmu untuk bekalan di hari akhirat dan dia tidak menuntut ilmu melainkan dengan niat untuk mencari keredhaan Allah dan supaya ilmunya menjadi bekalan yang berguna di hari pembalasan kelak. Golongan yang pertama ini tergolong di kalangan orang-orang yang beruntung.

Golongan Kedua :

Golongan yang kedua adalah orang yang mencari ilmu untuk nikmat yang segera iaitu kenikmatan dunia berupa pangkat, kemuliaan dan harta benda sedangkan dia sendiri menyedari hal  ini malah di dalam hatinya dapat merasai akan kejahatan yang sedang dilakukannya dan kehinaan maksudnya. Golongan ini termasuk di dalam golongan yang berada di dalam keadaan bahaya. Hal ini kerana jika dia tidak sempat bertaubat sebelum nyawanya dicabut, maka dibimbangi matinya nanti dalam keadaan “su’ul khatimah” dan urusannya di hari akhirat kelak terserah kepada kehendak Allah swt sama ada mahu memaafkannya ataupun menyeksanya. Tetapi jika dia mendapat taufiq hidayah daripada Allah lalu dia sempat bertaubat sebelum matinya dan sempat beramal dengan ilmu yang ada padanya dan membetulkan kembali apa yang telah dilakukannya maka orang ini bolehlah dimasukkan kedalam golongan orang-orang yang beruntung kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.

Golongan Ketiga :

Golongan yang ketiga adalah orang yang telah dikuasai oleh syaitan kerana dia menjadikan ilmunya itu sebagai alat menghimpunkan harta benda, bermegah-megah dengan kedudukannya serta berasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmunya untuk menunaikan segala hajatnya serta untuk mengaut keuntungan dunia yang sementara. Walau bagaimanapun, dia masih terpedaya dengan sangkaan bahawa dia mempunyai kedudukan tinggi di sisi Allah kerana ia pada zahirnya menyerupai para ulama’. Dia bercakap seperti percakapan para ulama’ dan berpakaian seperti pakaian para ulama’ padahal zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpunkan kekayaan dunia. Orang seperti ini termasuk di dalam golongan yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan. Golongan ini sangat tipis peluangnya untuk bertaubat  kepada Allah swt kerana pada sangkaannya dia termasuk di dalam golongan orang yang baik sedangkan dia telah lupa pada firman Allah swt :

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. [As-Shaff:2-3]

Sebenarnya golongan ini termasuk di dalam golongan yang disabdakan oleh Rasulullah saw yang bermaksud 

“Selain daripada dajjal ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal. Lalu ada orang yang bertanya : Apakah itu wahai Rasulullah? Nabi saw menjawab : Mereka ialah ulama’ su’ yakni ulama’ yang jahat.” [Hadis Riwayat Ahmad]

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita berusaha supaya tergolong di dalam golongan yang menuntut ilmu untuk mendapat keredhaan Allah di samping menjadikan ilmu yang diperoleh sebagai bekalan buat hari akhirat supaya nanti kita tergolong di kalangan orang-orang yang beruntung di dunia dan juga di akhirat. Selain itu, cuba untuk senantiasa memuhasabah diri sendiri di samping selalu memperbaharui niat kita di dalam menuntut ilmu. Ini kerana walaupun menuntut ilmu merupakan satu ibadah tetapi ianya juga boleh menjadi maksiat andai ianya dikuasai oleh nafsu ammarah bis-su’ dan juga bisikan syaitan yang direjam. Hal ini kerana syaitan menginginkan kita supaya melakukan kejahatan sedangkan kita mengira bahawa kita sedang melakukan kebaikkan. Begitulah bijaknya syaitan dalam memesongkan hati manusia.

Allah swt berfirman yang bermaksud : "Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?" Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya."  [Surah Al-Kahfi : 103-104]

Akhirnya marilah kita bersama-sama mengamalkan doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah saw :

 Maksudnya :“Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyu’, dari nafsu yang tidak pernah kenyang, dan dari doa yang tidak dikabulkan.”[HR Muslim 4899]

Sumber rujukan : Kitab Bidayatul Hidayah Karangan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali