Imam Ibnul Wardi


Inspirasi Qurani Meriahkan Ramadhan

Bicara Kebaikan

[Insert link title here]

Iqra' Mudah Meriahkan Ramadhan

Selasa, 10 Jun 2014

MENCARI MURABBI...



Jika orang berpenyakit lahiriah, mestilah dicari doktor yang bertauliah dan yang berlesen mengubatinya. Jika yang merawat pesakit itu bukan doktor, saya yakin hampir semua negara akan bertindak menghukumnya kerana boleh membahayakan nyawa manusia. Lebih-lebih lagilah nak merawat penyakit batin yang jauh lebih rumit, mestilah cari orang yang berkelayakan, yang tahu dan faham penyakit dan cara rawatannya.

Jika merawat penyakit yang lahirpun payah, beribu kali lebih payah merawat penyakit batin. Kerana manusia perlu dirawat anggota batinnya, iaitu akal, nafsu dan hati. Perjalanannya sangat halus dan seni.

Zaman ini amat payah nak dicari klinik mengubat penyakit batin (mazmumah), kerana jarang orang sedar yang dia sedang mengalami penyakit. Kalau ada yang sedar, mencari perawatnya pula payah.

Mendidik manusia tidak cukup hanya memberi ilmu seperti yang dilakukan oleh para ustaz, guru, cikgu atau muallim. Manusia perlukan murabbi atau rabbani kerana kejahatan manusia itu terlalu seni dan unik sekali.

Murabbi atau rabbani, beberapa sifat yang perlu ada padanya iaitu mesti berilmu, beramal, berakhlak mulia, menghayati syariat, boleh mendidik manusia serta boleh dicontohi.

Murabbi dengan murid terus berhubung sampai mati. Hubungan murabbi dengan murid seperti anak dengan ibu bapa bahkan lebih daripada itu tidak ada putusnya. Kerana syaitan dan nafsu yang merosak hati tidak pernah rehat.



Hubungan murabbi atau rabbani dengan murid adalah hubungan hati dengan hati atau roh, berlangsung sampai mati.

Bagaikan hubungan Rasul dengan Sahabat, adalah hubungan roh dengan roh, jiwa dengan jiwa. Mereka kasih-mengasihi, cinta-mencintai, tidak boleh diputuskan oleh apa sekalipun kecuali masing-masing atau salah satu memutuskannya kerana tidak ada hubungan dengan Tuhannya lagi.


Mari kita lihat bagaimana murabbi agung, Rasulullah ﷺ mendidik para sahabat. Rasulullah ﷺ mendidik dengan sikap dan akhlak. Apa yang baginda cakapkan, baginda laksanakan. Seluruh kandungan Al-Quran itu ada pada diri baginda Rasul, lahir dan batin. Sehingga Ummul Mukminin, Sayidatina Aisyah menggelarnya Al Quran yang berjalan.

Kaedah ini, iaitu guru mengamalkan terlebih dahulu apa yang hendak diajar dan dididik, sebelum diajarkan kepada muridnya, adalah rahsia pendidikan yang cukup penting. Inilah yang perlu ada pada diri seorang murabbi.

Allah benci dan marah kepada seseorang yang pandai bercakap tapi tidak berbuat. Dia akan membuatkan orang yang diajarpun bersikap serupa. Sehingga ilmu hanya untuk dibangga, tidak dilaksana, ilmu menjadi sia-sia.

Rasulullah ﷺ telah buktikan tentang praktikalnya Al Quran, sekaligus memberi contoh dan tunjuk ajar bagaimana cara hidup Islam yang indah itu. Sikap dan akhlak baginda dicontohi para sahabat,. Bahkan, dari kerana keindahan dan kebenaran Islam itu terserlah dalam peribadi Rasulullah ﷺ, para sahabat berlumba-lumba untuk meniru apa sahaja yang dilakukan baginda.

Rasulullah ﷺ benar-benar dikagumi, dicintai, dirindui serta diikuti perilakunya. Kerana benar dan baiknya Rasulullah ﷺ itu, hingga para sahabat sanggup bergalang nyawa mempertahankannya. Jiwa mereka hidup dengan didikan Rasulullah, hingga sanggup berjuang dan berkorban demi Allah dan Rasul.


Itulah hasil didikan melalui sikap dan akhlak. Itulah didikan yang diperlukan umat hari ini melalui seorang murabbi. Didikan begini mampu mengikat hati-hati manusia, bagaikan satu binaan bangunan yang kukuh. Sedangkan menyatukan hati manusia itu amat payah.

وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡ‌ۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬

Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal:8:63) 

Inilah hakikat yang sedang kita lihat dalam masyarakat kita hari ini. Penyakit mazmumah yang ada dalam diri umat, hasad dengki, dendam, bakhil, sombong, riyak dan lain-lain memecahkan hati-hati manusia. Hinggakan hendak mendamaikan suami dan isteri yang bergaduhpun payah, apatahlagi antara dua negara yang berperang. Seluruh pemimpin dunia gagal mententeramkan keadaan dunia yang huru-hara ini.

Kerana di zaman sekarang yang ramai adalah muallim, cikgu,ustaz, guru atau kiyai, bukan murabbi atau rabbani. Murabbi dan rabbani di zaman ini adalah bilangan jari, susah dicari.


Lantaran itulah payah hendak mendidik manusia menjadi baik dan jujur, kerana mubaligh atau guru dengan murid lebih kurang sama saja perangainya, kecuali ilmu..guru lebih sikit.

Amat susah mencari pendidik di hari ini (guru atau rabbani) yang ada ilmu, mengamalkan, berakhlak mulia, menghayati, boleh mendidik dan terus berhubung dengan muridnya hingga mati.

Lihatlah hasil dari guru kebanyakannya hanya memberi ilmu semata-mata. Tabiat manusia tidak berubah, murid-murid melawan guru, melawan ibu bapa. Hubungan guru dengan murid tidak ada. Murid bergaduh sesama mereka, malah sanggup pukul guru atau sebaliknya, guru pukul murid.

Setelah dewasa masing-masing ada tugas dan dapat kerja, berlaku rasuah, malas bekerja, hasad dengki, tidak sehati. Jatuh-menjatuhkan, zalim-menzalimi, mementingkan diri, hidup nafsi-nafsi. Zina, tipu-menipu, budaya liar yang jijik jadi budaya hidup mereka.

Kerana apa? Ampun maaf...yang memberi ilmu pun sama atau lebih kurang murid juga wataknya, kerana mereka sekadar muallim (pengajar), bukan murabbi atau rabbani...memang parah!


Hendak mendidik manusia bukan sebarang orang, bukan calang-calang orang melainkan dia pilihan Tuhan. Jika sekadar jadi guru bermotif makan gaji kerana sesuap nasi, apakah mampu mendidik manusia hingga cintakan atau takutkan Tuhan?

Pendidik bertaraf murabbi atau rabbani itu, dia umpama bayangan Rasul atau bayangan Nabi, seperti sabda Rasulullah, "Ulama itu pewaris Nabi."

Inilah yang berlaku kepada para sahabat Rasulullah ﷺ, bilamana Rasulullah wafat, mereka meneruskan perjuangan Nabi bersama dengan wataknya, mendidik manusia sepanjang masa.

Baginda hidup bersama sahabat-sahabat. Setiap waktu solat, mereka sama-sama berjemaah. Bila makan, mereka berkeliling satu dulang. Baginda duduk bertemu lutut dengan para sahabat. Bila ada sesuatu hendak dirundingkan, berbisik-bisiklah baginda dengan para sahabatnya. Duduknya tidak pernah tinggi dari sahabat. Pakaian tiada beza dengan yang lain.

Baginda bercakap, berbincang dan bermesra, bahkan bergurau dengan sahabat. Kalau ada sahabat yang tidak kelihatan olehnya, pasti baginda akan menanyakannya. Baginda akan ziarah ke rumah sahabat, sama-sama menguruskan jenazah dan hadir majlis kenduri bersama sahabat.

Apabila bermusafir atau keluar berjalan-jalan pasti baginda mengajak sahabat bersama-sama, hatta dalam berperangpun, mereka tetap bersama. Baginda tidak pernah membuat dirinya lebih istimewa daripada sahabat-sahabatnya. Susah sama ditanggung, senang sama dirasa.

Sikap dan akhlak begini yang membuatkan para sahabat senantiasa melihat, belajar dan terdidik untuk mengamalkan Al Quran dan Sunnah. Hati dan jiwa mereka bersih dari segala mazmumah, hingga lahir keindahan akhlak dan budi, menyerlahkan kebenaran dan keindahan Islam.

Kerana kurang atau tiada lagi ulama yang mencontohi akhlak Nabi ini, tidak benar-benar menjadi pewaris Nabi, sekadar mewarisi ilmu, bukan perjuangan dan akhlaknya, kita lihat umat Islam seluruh dunia kini dalam hidupnya tidak berkasih sayang, tidak boleh bersatu, tidak ada rasa bersama, tidak boleh bekerjasama, tidak bela-membela, takut dengan musuh-musuhnya, dan musuh-musuh tidak lagi takut padanya.

Umat Islam hari ini, sudah kehilangan ulama berwatak murabbi atau rabbani, yang ada hanya guru memberi ilmu, tapi tidak boleh dicontohi.

Di mana?

محمد فضلي بن يوسف
13 Jamadil Akhir 1432H
17 Mei 2011

Silakan share
NOTA OLEH : USTAZ Mohd Fadli Yusof (Ketua Misi Laman Dakwah Misi As-Syahadah) http://www.facebook.com/notes/mohd-fadli-yusof/mencari-murabbi/10150244737996719)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan