Imam Ibnul Wardi


Inspirasi Qurani Meriahkan Ramadhan

Bicara Kebaikan

[Insert link title here]

Iqra' Mudah Meriahkan Ramadhan

Sabtu, 30 Oktober 2010

MAKNA SEBUAH PENGALAMAN HIDUP


Pagi itu,  saya dan beberapa orang sahabat seperjuangan keluar untuk menuju ke suatu destinasi dalam menyelesaikan sebuah misi dakwah & tarbiyah. Dalam masa yang sama dengan izin Allah, saya berpeluang untuk menyaksikan pesona langit tatkala fajar sedang merekah.

Secara spontan terdetik di dalam hati membisikkan, indahnya ciptaan Tuhan. Tapi mungkin kealpaan selama ini menyebabkan diri ini seolah-olah tidak pernah mengetahui rahsia di sebalik terbitnya matahari. Matahari tanpa lelah dan jemu terbit saban hari memancarkan cahayanya menerangi bumi dan memperlihatkan keindahan yang membuatkan hati merasa damai dan takjub kepada Dzat yang menciptakan-Nya. Subhanallah… 

Mudah-mudahan diri ini tidak lagi alpa… Aameen Ya Rabb…

Maksud firman Allah s.w.t. : 

“Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. dan tidak ada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun.” (al-Isra’ : 44) 


Ya Ilahi Robbi,
Di pagi yang hening itu,
Ku dapat melihat pancaran sifat-Mu,
Pada sinaran matahari pagi hari.
Ya Ilahi Robbi,
Pada hela nafas dan langkah kaki ini,
Jua cahaya matahari yang menyinari,
Ku mengakui KAU-lah an-Nuur,
Yang Maha memberi Cahaya.
Perjalanan Hidup Yang Bermakna

Aku cuba merakamkan fenomena yang berlaku saban pagi itu melalui sebuah kamera. Sebuah keindahan yang menarik untuk di abadikan. Tapi rupanya, tidaklah semudah mana untuk merakam gambar matahari pagi. Setelah berkali-kali mencuba, barulah berpuas hati.

Satu kepelikan yang berlaku dan menjadi tanda tanya pada diri tatkala menyaksikan matahari yang kelihatan berbeza warna di pandangan mata dan lensa kamera. Cahaya kemerahan pada matahari terlihat melalui pandangan mata, sedangkan hanya warna keputihan yang terpapar dalam lensa kamera. Aku jadi tertanya-tanya? Hati mula berbisik dan akal mula berfikir, adakah sesuatu yang tersirat disebalik fenomena ini?

Terasa seolah-olah Allah sedang berbicara kepada  hamba-Nya, 

Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta, ialah hati yang di dalam dada.(al-Hajj : 46) 

Rasa ingin tahu itu mengundang gerak usaha untuk mendapatkan maklumat mengenainya. Akhirnya, ‘Tuan Guru Hj’. Google menjadi sasaran. Melaluinya aku memperoleh maklumat mengenai fenomena penyerakan cahaya yang ada perkaitan dengan peristiwa yang telah di lalui tadi.

Rupa-rupanya, matahari yang tertangkap di lensa kamera adalah gambaran matahari yang sebenar dan hakiki dan bukan yang kelihatan di pandangan mata kasar. Warna kemerahan yang kelihatan itu sebenarnya adalah hasil daripada fenomena yang disebut ‘Penyerakan cahaya’ (Rayleigh Scattering).

Fenomena ini terjadi bila mana ruang udara dicemari kepulan asap atau seumpamanya seperti jerebu akan menyebabkan cahaya putih daripada matahari kelihatan kemerahan pada pandangan mata kasar. Mungkin keadaan yang ber’jerebu’ pagi itulah yang menciptakan satu pengalaman hidup yang baru buatku melalui peristiwa tersebut.

Belajar daripada Alam

Peristiwa ini, dapat memberi pelajaran dan inspirasi kepada diri yang mahu berfikir betapa terbatasnya pandangan mata manusia. Pandangan mata kita ini seringkali tertipu ketika mana melihat dan menilai sesuatu yang terzahir di pandangan mata yang terkadang jauh daripada hakikat yang sebenar. Terimalah hakikat sebagai seorang hamba Allah, betapa lemahnya kita dan betapa kita tidak boleh bergantung hanya pada pandangan mata ketika melihat dan ingin menilai sesuatu.

Demikianlah kita sebagai hamba Allah yang beriman seharusnya menyedari bahawa hakikat manusia yang diciptakan Allah dikurniakan mata hati yang memiliki kekuatan dan lebih peka untuk mengesan serta membezakan antara yang hak dan batil ketika ianya terbentang di hadapan mata kasar. Mengingatkan kita (buat peminat nasyid) kepada sebuah lirik lagu yang cukup menarik untuk di hayati.

Pandangan mata selalu menipu,  

Pandangan akal selalu tersalah,  

Pandangan nafsu selalu melulu,  

Pandangan hati itu yang hakiki.


Jerebu dan Mata Hati

Mari kita merenung dan bermuhasabah diri dengan melihat sejenak perjalanan kehidupan yang telah kita lalui. Betapa banyak kesilapan yang terhasil dalam keadaan sengaja atau pun tidak, kesan daripada pandangan mata yang mungkin tidak berupaya untuk menapis penyerakan cahaya, dan pengembaraan akal yang mungkin di landa ‘jerebu’ atau ‘asap yang tebal’ sehingga menejerumuskan diri ke jalan yang silap.

Jika cahaya matahari yang terang benderang dan jelas kelihatan boleh menyebabkan kita kadangkala tertipu dengan zahirnya. Demikian pula ibrah kebenaran petunjuk al-Quran sebagai cahaya yang mampu menyuluh kehidupan kita kadangkala kita sendiri tersalah dalam mentafsirkannya.

Kenapa ini berlaku?

Adakah mungkin kerana mata hati yang berfungsi untuk menilai kehidupan di landa ‘jerebu’ seperti mana yang berlaku pada sang matahari sehingga cahayanya yang putih kelihatan cahaya kemerahan?

Apa agaknya ‘jerebu’ yang menyilapkan pandangan mata hati itu?

Hakikatnya, semua ini bermain dengan kemungkinan-kemungkinan yang adakalanya kita sendiri tidak pasti atau tidak sedar apakah perkara sebenarnya.

Mungkinkah kita masih dibelenggu prasangka buruk, prinsip hidup yang tidak tepat, pengalaman silam, kepentingan diri, sudut pandang yang berbeza, dan hasil pembacaan yang sehingga menimbulkan ketidaksefahaman antara sesame sendiri. Bersangka buruk kepada orang lain, prinsip pada selain daripada Allah, merasakan diri lebih daripada orang lain kerana pengalaman hidup,keliru memilih apa yang lebih penting dan tidak mahu meraikan perbezaan pendapat. Terasa halus bicara Allah melalui kalam-Nya yang indah : 

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari seksa neraka.(Ali-Imran 191-192) 

Firman-Nya lagi :-   …Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan sebuah kitab yang jelas. Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan yang selamat. Dan Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang dengan izin-Nya, dan menunjuk mereka ke jalan yang lurus. (Al-Maaidah, 15-16)


Agar mata hati terus tajam, marilah siraminya dengan zikrullah melalui lafaz-lafaz zikrullah, ingatan daripada teman-teman dan sahabat-sahabat yang prihatin, nasihat daripada para ustaz dan murabbi serta pengalaman hidup yang berguna untuk akhirat dan dunia kita. Semoga ‘jerebu’ yang mengaburi mata hati akan sirna. Zikrullah ibarat hujan yang membasahi bumi yang dapat membersihkan hati yang ditutupi ‘jerebu’ sebagaimana jerebu yang melanda bumi sirna dengan turunnya hujan.

Hati kalau sudah bersih,
Pandangannya akan menembus hijab,
Hati jika sudah jernih,
Firasatnya akan menepati kehendak Allah. (Dengan izin-Nya)

Makna Sebuah Pengalaman Hidup

Menghampiri tempoh setahun setengah (bermula April 2008) lahir dalam dunia dakwah dan tarbiyah kontemporari secara rasmi ini sebenarnya tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Tempoh yang masih terlalu muda sebenarnya, masih merangkak walaupun dalam keadaan usia yang telah lanjut. Bahkan pengalaman apalah sangat yang dapat diperolehi dalam tempoh sesingkat itu? 

Sesungguhnya perjalanan dakwah dan tarbiyah ini adalah suatu perjalanan yang jauh. Sebuah perjalanan menuju sebuah kesempurnaan ubudiyah kepada-Nya. Pahit manis dan asam garam dalam menjalani hidup inilah yang akan mewarnai kehidupan. Tanpanya mungkin nikmat kehidupan ini tidak dapat dirasai. 

Indahnya tangisan kesedihan akibat ujian kesusahan dalam menggapai redha Allah.

Pahitnya kelalaian lantaran tidak mensyukuri nikmat kurniaan Allah yang banyak.

Masamnya kehidupan bila hanya memikirkan kepentingan diri sendiri.

Manisnya hidup andai dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Indahnya pertemuan dan perkenalan dalam naungan redha Ilahi,

Pahitnya prasangka buruk dan perpecahan lantaran keegoan dan mementingkan diri sendiri.

Demikianlah sebahagian pengalaman yang mewarnai kehidupan insan yang pastinya tidak akan sama orang yang melaluinya dengan yang tidak merasainya sendiri. Itulah erti sebuah pengalaman hidup. Pengalaman yang akan mematangkan diri dalam menjalani kehidupan yang saban hari akan semakin mencabar. 

 “Usaha memperbaiki diri bukan suatu suratan (destiny) tetapi adalah suatu perjalanan (journey). Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa perjuangan memperbaiki diri adalah perjuangan nafas panjang (The Long Breath War). Kita akan sentiasa berubah, samada menjadi orang yang lebih baik atau sebaliknya. Setiap hari, proses perubahan sentiasa berlaku. Jika tidak menaik, kita pasti sedang menurun.” 

p/s : Kredit buat sahabat-sahabat seperjuangan, yang tidak lekang menasihati, mengingatkan, mengajar dan menunjuk jalan. Izinkan untuk aku ungkapkan suatu ungkapan yang masih belum ku ungkapkan secara berhadapan dengan kalian bahawa sesungguhnya : “Jalan Dakwah dan Tarbiyah ini indah, kerana ada Kamu.”
 
al-Faqir Ilallah,
Ibn Jamal as-Sabahi,
Seorang perantau musafir perjuangan.
“Jangan Jera’untuk belajar” – Versi Sabah -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan