“Dan
bahawa sesungguhnya inilah jalanku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah
kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam),
kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah,
dengan yang demikian itulah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-An’am
: 153)
Sudah diketahui bahawa setiap orang
yang mempunyai matlamat akan berjalan di jalan yang selamat, jalan yang boleh
menyampaikannya kepada matlamatnya. Ia berusaha sedaya upaya untuk mengenali
jalan serta tanda-tandanya sebelum ia memulakan perjalanan agar tidak terkeliru
dan tersimpang ke jalan yang lain, tidak terbuang dan tersia-sia usaha dan
tenaganya, waktu dan masanya, tanpa bergerak untuk sampai ke matlamat yang
ditujunya. Lazimnya orang sedemikian akan meminta bantuan daripada orang-orang
yang arif dan pakar mengenai jalan tersebut untuk mendapatkan tunjuk ajar dari
mereka dengan syarat orang-orang itu boleh dipercayai dan bersifat amanah dalam
tunjuk ajarnya. Jika tidak, pasti ia akan tidak berpuas hati dengan tunjuk ajar
yang diberikan mengenai jalan tersebut.
Matlamat menjadi mahal, tujuan
menjadi suatu yang bernilai tinggi mengikut kadar minat dan keinginan yang kuat
untuk sampai kepadanya. Disinilah letaknya kepentingan untuk mengenali jalan
yang benar, waspada dan berjaga-jaga mengenai liku-liku dan simpang siur yang
boleh membawa seseorang itu semakin menjauhi dari matlamat asalnya, terutamanya
ketika mana berada dipersimpangan yang banyak cabangnya, terkejar-kejar ke hulu
dan ke hilir oleh orang yang sedia menunggu di situ lebih-lebih lagi orang-orang
berkepentingan menurut hawa nafsu sehingga boleh menyimpangkan seseorang itu
dari jalan yang benar. Mereka berlakon dan berlagak sebagai penasihat-penasihat
yang betul-betul tulus dan jujur, tetapi sebenarnya membawa kepada lebih banyak
kesamaran.
Jalan Dakwah
Jalan
dakwah bermaksud jalan menuju kepada Allah, iaitu jalan menuju keredhaan dan
syurga Allah, juga jalan yang telah dirintis oleh baginda Rasulullah s.a.w.,
dan juga jalan yang sama pernah ditelusuri oleh semua para nabi dan rasul serta
jalan untuk para mukmin yang muttaqin kerana bagi mereka jalan dakwah itulah ‘Siratul Mustaqim’.
Diriwayatkan
daripada Abdullah ibn Mas’ud r.a. berkata : pada suatu hari, Rasulullah s.a.w.
membuat garisan dengan tangan kanan baginda kemudian bersabda : “Ini adalah
jalan Allah yang lurus.” Kemudian baginda s.a.w. menggariskan dengan tangan
kiri baginda lantas bersabda : “Ini jalan-jalan (garisan) tidak ada mana-mana
jalan melainkan di atasnya syaitan mengajak kamu semua kepadanya.” Kemudian
baginda s.a.w. membaca ayat al-Quran yang bermaksud :
“Dan
bahawa sesungguhnya inilah jalanku (agama Islam) yang betul lurus, maka
hendaklah kamu menurutnya, dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain
dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari
jalan Allah, dengan yang demikian itulah perintahkan kamu, supaya kamu
bertaqwa.”
(Al-An’am : 153)
Dakwah
Kepada Allah
Berlandaskan
kepada perintah Allah s.w.t. yang mewajibkan setiap individu muslim
menyampaikan dan menyebarkan islam, dakwah telah menjadi aktiviti asas yang
sangat mendasar sifatnya menurut tahap dan kemampuan masing-masing.
Imam
Asy-Syahid Hasan al-Banna menjelaskan bahawa jalan dakwah adalah jalan yang
satu. Kita wajib beriltizam dengannya, jangan menyeleweng daripadanya kerana
sesungguhnya ia adalah jalan yang telah dicontohkan oleh baginda Rasulullah
s.a.w. Bahkan, bagindalah orang yang paling arif mengenai jalan dakwah. Beliau
menjelaskan :
“Jalan dakwah adalah jalan yang
satu yang pernah dilalui dan di jalani oleh Rasulullah s.a.w. dan juga para
sahabatnya terdahulu. Jalan ini dilalui juga oleh para du’at dan kita juga
harus berjalan di atas jalan itu insyaa-Allah, dengan taufiq dari Allah kelak
berbekalkan iman, amal, kasih sayang dan persaudaraan. Kita mengajak mereka
kepada beriman dan beramal, kemudian menyatukan hati-hati mereka atas kasih
sayang dan persaudaraan. Maka akan terkumpullah kekuatan dan tenaga aqidah
menjadi tenaga penyatuan, dan jadilah jama’ah mereka sebagai jama’ah contoh
yang pasti akan menzahirkan kalimahnya dan mendapat kemenangan dakwahnya,
walaupun dihalangi oleh seluruh penghuni bumi ini.”
Imam
Asy-Syahid Hasan al-Banna juga telah membentangkan semula jalan dakwah Rasulullah
s.a.w. dengan wajah yang baru bertepatan dengan keperluan semasa dan kehendak
perubahan zaman melalui pengisytiharan beliau terhadap jalan yang beliau gagaskan
dan mengajak umat islam bersama-sama untuk kembali merintisnya setelah
peristiwa sejarah hitam buat umat Islam dengan runtuhnya khilafah islamiyyah
pada mac 1924. Beliau menyatakan dengan jelas dan lantang :
Allah
Matlamat Kami
Rasul
Ikutan Kami
Al-Quran
Panduan Hidup Kami
Jihad
Jalan Juang Kami
\
Mati
Syahid Cita-Cita Tertinggi Kami
Bersambung...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan