Imam Ibnul Wardi


Inspirasi Qurani Meriahkan Ramadhan

Bicara Kebaikan

[Insert link title here]

Iqra' Mudah Meriahkan Ramadhan

Sabtu, 31 Ogos 2013

Pelihara Ketulenan Perjuangan, Nusratullah Datang Beriringan


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله الذى بعث محمدا صلى الله عليه وسلم بالهدى ودين الحق رحمة للعالمين وقدوة على العاملين وحجة على من أرسله الله إليهم أجمعين. وأشهد أن لا إلـه إلّا الله وحده لا شريك له إلـه الأوّلين والآخرين وأشهد أنّ محمدا عبده ورسوله المصطفى على العالمين صلى الله عليه وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين وسلم تسليما كثيرا
أمّا بعد



Para sahabat muktamirin Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan,

Kita semua telah menyatakan tekad dalam muktamar yang lalu untuk menggembeling usaha dan daya untuk membangunkan hidup berjamaah. Kita menyatakan tekad berjuang untuk membantu kemenangan Islam menerusi wadah yang kita sama-sama meladeninya. Kita telah melakukan apa yang kita mampu lakukan dan kita juga telah lalai pada bahagian yang telah pun kita lalai. Apa yang dapat kita laksanakan untuk jamaah, kita panjatkan syukur. Dengan rahmat Allah juga kita diberikan kekuatan untuk melaksanakannya. Apa yang kita lalai, kita mohon ampun daripada Allah SWT. Semoga Allah tidak mempersoalkan di akhirat kelak apa yang kita tidak dapat lakukan sementara kita telah pun menginsafinya.

Marilah kita kembali menginsafi pentingnya hidup berjemaah. Tuntutan hidup berjemaah bukanlah sekadar manis di bibir. Hendaknya kita benar-benar memahami kedudukannya dalam Islam. Jika kita melaksanakan konsep berjemaah dalam pelbagai aspek kehidupan dunia kita, maka terlebih aula untuk kehidupan agama. Kalau kita solat berjemaah , maka kita berjuang untuk agama juga hendaklah berjemaah. Para musuh Islam bersepakat dan berkerjasama untuk menjahanamkan Islam. Apakah patut kita secara bersendirian berjuang untuk Islam?

Betapa hebat pun keperibadian kita, beban Islam itu lebih berat. Nabi SAW pun memerlukan para hawari untuk melonjakkan Islam di mata dunia. Maka, apakah kita tidak memerlukan hawari? Membina hawari itulah tuntutan hidup berjemaah.

Jangan hendaknya kalangan kita masih lagi ragu-ragu mengenai betapa perlunya kita kepada hidup berjemaah. Tanpa Jemaah, jadilah kita kambing “qasiah’ yang menunggu masa dibaham serigala. Kita mencari hidup berjemaah untuk menyelamatkan diri dan bukannya untuk menunjukkan betapa terbilangnya kita dalam memperjuangkan jemaah. Jauh sekali untuk merebut pamrih dunia di atas jalan perjuangan.

MALU MENGAKU BERJUANG

Pemuda perjuangan hendaklah sentiasa menyedari betapa kerdilnya sumbangan kepada kebangkitan Islam. Malah, tanamkanlah dalam diri bahawa diri sendiri belum berjuang. Saya titipkan sebuah sajak buat membujuk hati sahabt sekalian :-

Aku Belum Berjuang!

Mari sedarkan diri,
Katakan aku belum berjuang.

Kalau perjuangan itu sebuah gelanggang,
Aku di luar masih berlenggang.

Mereka telah melakar sejarah,
Aku Cuma menghampar sejadah.

Mereka telah tumpah darah,
Aku cuma menggenggam amarah.

Mereka telah melontar panah,
Aku Cuma menyebar risalah.

Penjara, rumah kedua mereka,
Rumah pertamaku suka suka,
Rumah keduaku pula senda loka.

Mereka menemui tali gantung,
Aku masih dikir rambung.

Aku cuma bicara hukum,
Mereka telah pun dihukum.

Aku bersemangat tegakkan syariat,
Mereka terkorban menegakkan syahadat.

Aku mimpi kerajaan khilafah,
Aku hafal manhaj nubuwwah,

Mereka lesu penat lelah,
Tidak banyak madah berhelah.

Kalau berdiri di muka gerbang,
Usah diumpat nista pejuang,

Jika di medan sebagai hulubalang,
Baru layak mengajar burung terbang.

Mari sedarkan diri,
Aku bukan pejuang,
Aku Cuma tunggul sebatang,
Bermimpi dahan pohon rendang.

PERJUANGAN ISLAM MEMERLUKAN NUSRAH ALLAH

Allah menjanjikan bantuannya bagi mereka yang berjuang demi agamanya. Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya kami menolong rasul-rasul kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat).”
(Surah Mukmin : Ayat 5)

Perjuangan Islam tidak akan menempa kemenangan jika tiada nusrah Allah. Sepanjang sejarah, kemenangan pejuang agama Allah sentiasa diwarnai oleh nusrah Allah SWT. Melalui nusrah Allah SWT, pasukan pejuang Islam menang walaupun jumlah mereka sedikit dan kelengkapan serba kekurangan.

Tentera Talut yang sedikit dapat mengalahkan tentera Jalut yang lebih ramai berkali ganda. Allah menyebutkan perihal kemenangan tentera Talut tersebut sebagaimana firman-Nya :

“Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah.” (Surah Al-Baqarah : Ayat 249)

Perkara yang sama terjadi kepada tentera Islam di bawah kepimpinan Rasulullah SAW. Dalam perang badar, tentera Islam hanya 33 orang dapat mengalahkan tentera musyrikin yang berjumlah 1000 orang. Dalam perang khandak, pasukan Ahzab yang berjumlah 10000 orang dikalahkan dengan pertolongan Allah SWT. Kita saksikan kemenangan Islam berlaku dalam situasi kontradiksi jumlah yang tidak berpihak kepada Islam. Ironinya, dalam perang Hunain, apabila tentera Islam lebih ramai daripada tentera kafir, tentera Islam pul dipukul kekalahan.

Mengamati peristiwa kemenangan dan kekalahan Islam dalam sejarah, yakinlah kita bahawa Islam hanya boleh menang dengan nusrah Allah SWT. Justeru, para pejuang agama Allah hendaklah sentiasa berhati-hati dalam menggarap perjuangan agar nusrah Allah SWT tidak menyisih pergi. Para pejuang agama Allah hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada aspek menjana nusrah di samping meneliti pembinaan tenaga manusia, kelengkapan serta strategi. Semua aspek itu hanya akan berhasil menatijahkan kemenangan jika nusrah datang beriringan.

LURUSKAN NIAT PERJUANGAN

Menerjuni perjuangan perlu dipandu niat yang betul. Niat yang menyimpang membawa amal islami bertukar menjadi amal insane. Ketika menyerahkan diri untuk menjadi soldadu perjuangan, tanyakan diri, apakah tujuannya.

Adakah untuk mendapat ramai kawan?
Nanti, bila berselisih faham dengan kawan, perjuangan akan ditinggalkan.

Apakah untuk mengisi masa yang ketika itu lapang?
Kelak bila sibuk, dengan perjuangan menjadi renggang.

Apakah untuk mengejar habuan dunia?
Bila habuan dunia tiada, perjuangan pun dilupa.

Orang yang ikhlas disebut mukhlis. Memiliki sifat mukhlis akan membawa kepada digolongkan Allah SWT sebagai kalangan mukhlasin. Hanya orang mukhlas selamat daripada tipudaya syaitan. Untuk mendapat kedudukan mukhlas, dakilah tangga orang mukhlis. Hanya perjuangan yang dikendali oleh orang-orang yang ikhlas sahaja akan mendapat nusrah Allah SWT.

SABAR MENEMPUT MASA YANG PANJANG

Perjuangan Islam akan menempuh jalan panjang. Begitulah apa yang kita amati dalam sejarah. Dahulu, sebelum kota kostantinople mahu ditawan tentera jihad Islam, berates tahun rancangan di atur untuk menawannya. Tahun 1453, kota itu jatuh ke tangan khalifah Islam Muhammad Al-Fateh. Kisah gemilang ini hanya bertahan sekitar 471 tahun apabila pemerintahan Islam ranap diinjak sekularisma bikinan Mustapha Kamal Attartuck. Masa panjang mendaki kemenangan dan tempoh singkat menikmati buahnya adalah antara asam garam perjuangan Islam.

Kepanjangan masa yang perlu ditempuh sebelum meraih kemenangan hendaklah dinilai secara positif. Tujuan meletakkan diri dalam perjuangan Islam bukanlah untuk mendakap titik akhir kemenangan. Kemenangan menewaskan musuh Islam bukanlah kemenangan yang sejati. Bagi pendokong perjuangan Islam, kemenangan yang sejati ialah apabila ia boleh istiqomah di atas perjuangan sehingga dia mati sementara dia kekal dengan perjuangan.

Panjangnya masa sedangkan tidak juga menang hendaklah dilihat sebagai cara Allah memberikan limpah kurnia para pejuang agamanya meraih ganjaran sebanyak mungkin. Oleh itu, kesabaran menempuh jalan perjuangan akan membezakan pejuang sebenar dengan pejuang palsu. Pejuang sebenar akan bertahan, sementara pejuang palsu akan rebah tersungkur.

Para rasul Allah dan orang beriman yang terdahulu menempuh pelbagai dugaan dan cabaran dengan sabar sehingga sampai ke klimaks getir cubaan perjuangan. Allah berfirman :-

“Sehingga apabila para Rasul tidak mempunyai harapan lagi (tentang keimanan mereka) dan telah meyakini bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada para Rasul itu pertolongan KAMI, lalu diselamatkan orang-orang yang KAMI kehendaki. Dan tidak dapat ditolak siksa KAMI daripada orang-orang yang berdosa.” (Surah Yusuf : Ayat 110)

Justeru, kita para pemuda tidak perlu merintih kecewa dengan kekalahan dalam PRU13 baru-baru ini. Kita mungkin belum layak dikatakan sudah sampai ke klimaks getir cubaan perjuangan. Kita masih mampu tersenyum dan ketahanan untuk meneruskan perjuangan masih banyak. Biarlah liku-liku perjuangan panjang asalkan kita tetap istiqamah dan anggaplah kita diberi peluang oleh Allah untuk meraih pahala perjuangan berterusan dengan kekalahan tersebut.

PELIHARA KETULINAN PERJUANGAN

Ketulinan perjuangan hendaklah berdiri di atas manhaj perjuangan yang betul dan terpelihara daripada anasir yang merosakkannya. Semua anggota jemaah mesti peka dalam menilai antara manhaj perjuangan yang tulin berasaskan sirah perjalanan nabi kita Muhammad SAW atau manhaj perjuangan palsu yang meniti di atas jalur kepentingan politik dan peribadi.

Ketulinan manhaj perjuangan dapat dikenal pasti melalui pengambilan skema amal tarbawi yang mantap melalui silibus perjuangan yang ditinggalkan oleh baginda Rasul SAW dan diperkemas kini oleh ulama al-‘amilin al-mujahidin yang memimpin ummah.

Suatu pencabulan terhadap manhaj perjuangan andai ia dipimpin atau digerakkan oleh individu atau mereka yang bukan sahaja jahil terhadap manhaj perjuangan an-nabawi tetapi juga bersifat negative terhadap amal tarbawi. Lebih malang apabila perjuangan ini dipacu berlandaskan teori politik untuk mencapai matlamat tanpa berteraskan akhlak islami.

Demi memburu kemenangan dalam pilihanraya sebagai contoh, walaupun tiada siapa menafikan kemenangan itu penting, namun sekali-kali kita tidak boleh meminggirkan akhlak islami dalam percaturan politik.

Tentu sahaja perjuangan Islam tidak sama dengan gerakan nasionalis atau lainnya yang tidak memiliki kamus dosa dan pahala dalam teori politik mahupun perjuangan mereka. Justeru itu, kita jangan terjebak atau terpedaya dengan cara dan gaya mereka berpolitik.

Politik Islam kaya dengan akhlak, moral dan prinsip yang tidak memungkinkan ia dibeli apalagi dirasuah lantaran paksinya ialah iman dan Islam.

Ketulinan manhaj perjuangan jua tidaklah dinilai semata-mata dipentas politik pilihanraya tetapi juga melihat bagaimana kita membuat keputusan jemaah, bagaimana kita memimpin jemaah dan menangani ahli, bagaimana kita beraksi di medan dakwah, bagaimana kita mendepani musuh, bagaimana kita bertahaaluf dan sebagainya.

Pasti sahaja adab dan akhlak berjemaah seperti syura, dengar dan taat, thiqah, istiqamah, wala’, ukhuwwah, ikhlas dan lainnya mewarnai diri, sikap dan aksi kita sebagai seorang pejuang.

Kita adalah”Sebuah Gerakan Islam”. Ini satu reality yang mesti direalisasikan terutama kepada mereka yang diamanahkan sebagai pemimpin jemaah walau di mana posisinya. Bahkan apa pun kepentingan yang kita mahu capai dalam strategi berpolitik dan bergerak memimpin perjuangan ini, kita tidak boleh mencairkan nilai atau nilai standard bagi sebuah gerakan Islam.

Strategi itu benar dan wajar sebagaimana berpolitik itu adalah hak dan amanah perjuangan. Tetapi, ketulenan manhaj perjuangan mesti dipelihara. Jangan kita abaikan ketulenannya semata-mata mahu melihat strategi kita berjaya dan politik kita menang.

Menang tidak bererti benar dan kalah tidak bermakna salah. Justeru itu, awas jangan palsukan manhaj perjuangan suci ini. Pemalsuan manhaj perjuangan adalah satu jenayah! Ia menghalau nusrah Allah SWT.

JAGALAH MAIZAH SEORANG AHLI GERAKAN

Maizah adalah ciri istimewa. Para pemuda gerakan Islam perlu mempunyai maizah kerana Rasulullah SAW sering menekankan pentingnya memiliki maizah. Maizah akan membezakan seorang muslim dengan seorang kafir. Dalam keluarga besar Islam, maizah gerakan akan membezakan antara seorang anggota gerakan dengan seorang muslim biasa yang menyisih dari gerakan.

Seharusnya, seorang anggota gerakan memiliki ciri-ciri tersendiri yang tidak dimiliki oleh orang yang tidak terlibat dengan gerakan. Seorang pemuda gerakan akan menanggung amanah besar buat ummat ini. Selain tugasnya memperjuangkan Islam untuk diletakkan pada maqam yang tinggi, pemuda gerakan juga mempunyai tanggungjawab mempamerkan sifat seorang muslim sejati yang istimewa.

Saya mencadangkan setiap anggota gerakan ini membina maizah diri dengan mempertingkatkan hal-hal berikut :-

1.      Mengamalkan zikir dan wirid ma’thur dari bimbingan sunnah baginda Rasulullah SAW. Dalam hal ini, ahli gerakan sudah lama diajar agar mengamalkan wirid-wirid ma’thurat yang disusun oleh Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna.
2.       Istiqamah menjaga solat lima waktu berjemaah.
3.      Menjadi pendamping al-Quran dengan selalu membacanya dan dan mentadabdurnya.
4.      Sentiasa bangun solat tahajjud.
5.      Komited dengan harga tarbiyyah jemaah seperti usrah, tamrin, kuliah, jaulah dan sebagainya.
6.      Mudawamah solat subuh berjemaah di masjid.
7.    Menguasai ilmu-ilmu Islam melalui talaqqi, membaca, mendengar ceramah, berdiskusi & sebagainya.
8.      Menjaga kesihatan jasmani untuk berjuang dengan tangkas.
9.      Sentiasa peka dengan perkembangan semasa sama ada dalam Negara atau luar Negara.
10.  Lemah lembut dalam tutur kata dan menjaga akhlak perilaku.
11.  Memperkukuhkan ekonomi diri agar lahir sebagai anggota gerakan yang mempunyai izzah melalui sumbangan kepada jemaah.
12.  Menjalani gaya hidup orang soleh; berkawan dengan kawan yang soleh, jauhi perbuatan merokok, melepak berbual kosong dan individualistik.
Banyak lagi maizah yang boleh kita tampilkan sebagai seorang anggota gerakan Islam. Apa yang penting, janganlah antara seorang ahli gerakan dilihat sama sahaja dengan yang tidak berada dalam gerakan. Paling malang kalau ahli gerakan islam dilihat lebih lekeh dan leceh berbanding mereka yang tidak terlibat dalam jemaah dan gerakan. Apakah layak bahtera perjuangan dipacu oleh orang-orang yang lekeh?
PERJUANGAN ISLAM SENTIASA MENANG
Perjuangan untuk memenangi pilihanraya menurut pencak demokrasikelihatannya tidak membuahkan hasil yang memberangsangkan. Gerakan PAS bukan sahaja mengalami kekecewaan diperingkat negara tetapi juga diperingkat entiti kecil melibatkan PARLIMEN dan DUN. Bagi Dewan Pemuda Pas Sandakan, kekalahan dalam PRU13 baru baru ini ketika membantu calon PAS di Batu Sapi adalah sebuah hakikat yang memang diakui. Tidak menang. Itulah ungkapan damai untuk menggambarkannya. Tetapi, lebih tepat lagi untuk menggambarkannya ialah dengan mengatakan Gerakan Pas belum menang. Kemenangan itu akan dating dan itu perlu diyakini seperti meyakini datangnya siang ketika tenggelam dalam kegelapan di malam hari.
Kerana itu, penglibatan dalam pilhanraya, selama-lamanya hendaklah berada di atas landasan yang betul dan dengan tujuan yang betul. Jika kita terjun ke arena pilihanraya dengan cara dan niat yang betul, kita tidak akan merasa kecewa dengan kekalahan nisbi yang kita alami. Kita sebenarnya menikmati buah kemenangan sejati.
Untuk apa lakukan semua itu?
Untuk apa berhempas pulas terjun ke medan semasa PRU?
Apakah hanya untuk memenangkan calon pilihan kita?
Atau apakah untuk memungkinkan parti junjungan kita meraih kuasa pemerintahan?
Kalau itu tujuan kita, memang wajar kita kecewa. Namun, kalau tujuan kita lebih daripada itu, untuk mencapai redha Allah, meraih pahala daripadaNya, berkerja untuk menangkan agamaNya, kita akan tetap tersenyum gembira. Kekalahan itu kita tafsirkan sebagai lanjutan sungai pahala buat kita.
PERJUANGAN PINTUNYA SERIBU
Jangan berputus asa dalam mengemudi bahtera perjuangan. Jika satu jalan tertutup ada beribu jalan lagi sedang menanti. Para pejuang agama Allah bukan manusia naïf yang kontang idea, tandus cara untuk memenangkan Islam. Nabi Yaakob A.S. ketika mengarahkan anak-anaknya masuk ke Mesir, baginda menitipkan pesan sebagaimana firman Allah SWT :
Dan Ya’qub berkata : “Wahai anak-anakku, janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian, Aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikitpun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepadaNya-lah Aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri.”
(Surah Yusuf : Ayat 67)
Pesanan Nabi Yaakob buat anak-anaknya ini menggambarkan buat kita jalan perjuangan yang laluan masuknya berbagai-bagai. Dalam konteks gerakan kita sendiri, dalam menjayakan misi, kita mempunyai pelbagai cara. Semua cara itu ada harganya dalam perjuangan. Jika anda mahir dalam perniagaan, gunakan kemahiran itu membantu bangunkan system pengukuhan ekonomi gerakan. Jika anda lumayan dengan ilmu, janakan penyebaran ilmu yang digabungjalin dengan kesedaran menyertai gerakan. Jika anda pandai menulis, gunakan tulisan anda. Jika anda punya hubungan yang baik dengan masyarakat, mengapa tidak gunakan kedudukan tersebut untuk gerakan? Anda boleh menggunakan semua pintu perjuangan yang terbentang di depan anda.
Kita boleh membahaskan method kumpulan lain tetapi kita tidak perlu larut dalam membahaskannya. Kerja kita ialah melakukan apa yang kita yakini dan tinggalkan apa yang kita ragui.
IKHTIBAR PERISTIWA DI MESIR
Tela’ah Sunnatullah Tenangkan Gundah.
Kita menelan kegundahan hati ketika mendapat khabar duka tumbangnya kerajaan pimpinan Dr. Mursi dari ikhwanul muslimin di Mesir. Umur kerajaan Mesir pimpinan Mursi masih sangat pendek sebelum dating bencana coup d’etat oleh tentera mesir. Harapan yang sedang berbunga, tiba-tiba layu tidak bermaya. Bukan sedikit manusia seluruh dunia yang menyimpan harapan buat Mursi mengembalikan kegemilangan Mesir yang bersejarah. Namun, nampaknya sesuatu yang hebat, jalannya berganda-ganda payah.
Namun, memang demikianlah sunnatullah. Perjuangan itu satu tugas yang sangat payah. Apa yang kita bicarakan di Malaysia ini barangkali sekelumit Cuma daripada apa yang telah dipugar dan dikobarkan di Mesir bumi yang bertuah. Korban pewaris semangat nabi Musa dan kebijaksanaan Amru bin Al-Ass di Mesir bukan alang kepalang. Jemari tangan dan kaki sudah tidak mampu menjadi alat pembilang lagi.
Dulu, sebelum nabi Yusuf  berkuasa di Mesir, petualang penjajah Romawi menghisap kekayaan Mesir. Qibti bukan apa-apa walau bumi tumpah darah sendiri yang dipijak. Nabi Yusuflah yang dikatakan mengangkat harakat peribumi. Maka hasil pengorbanan nabi yusuf, dapatlah bangsa Bani Israel menumpang tuah. Namun, di kala firaun mengambil kekuasaan, Bani Israel menjadi hamba suruhan.
Allah tumbangkan Firaun. Pelbagai kuasa bertukar ganti di Mesir. Yang datang menjarah dan kemudian pergi atau dipaksa pergi. Berapa tahun pun masa berkuasa, tetap ada hujungnya.
Mubarak sahaja berkuasa sekitar 30 tahun. Pendahulunya juga punya dosa yang serupa. Kezaliman mereka ke atas pemuda-pemuda ikhwan bukan lagi rahsia. Tetapi, kekuasaan mereka tetap ada akhirnya. Memerintah 30 tahun bukan satu tempoh masa yang panjang buat Mubarak. Memerintah tidak sampai 2 tahun buat Mursi adalah satu tempoh masa yang panjang buat para fulul yang gelisah.
‘Allamah Iqbal pernah bermadah :
Umur bukan hitungan tahun,
Hidup bukan bilangan masa.
Sehari hidup singa di rimba,
Seribu tahun hitungan domba.

Usah tenggelam dan karam dalam kesedihan. Memang sudah sunnatullah begitu. Allah menciptakan pusingan roda dalam negeri untuk menjadikan tanah subur dalam negeri menumbuhkan bunga mekar yang akan mengharumkan syurgawi. Mungkin kita menderita kerana kehilangan sebuah kerajaan harapan buat ummat. Tetapi, penderitaan yang ditanggung oleh mereka yang benci melihat fajar Islam bersinar itu adalah lebih parah. Derita kita berbayar pahala sedang derita mereka menambah sengsara.
Setelah tersengguk seketika dalam rasa terpukul, kita kembali sedar dan berserah serta yakin dengan seni takdir Allah SWT. Jangan terpedaya dengan kembalinya berkuasa soldadu syaitan kerana itu hanyalah sebuah ‘ghurur’.
Allah SWT berfirman :
“Tidak ada yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah, kecuali orang-orang yang kafir. Kerana itu, janganlah kamu terpedaya kerana melihat mereka berulang-ulang menjarah di dalam negeri. Sebelum mereka, kaum Nuh dan golongan-golongan yang bersekutu sesudah mereka telah mendustakan (rasul) dan tiap-tiap umat telah merencanakan maker terhadap rasul mereka untuk menawannya dan mereka membantah dengan (alasan) yang batil untuk melenyapkan kebenaran dengan yang batil itu. Kerana itu aku azab mereka. Maka betapa (pedihnya) azab-Ku?”
(Surah Ghafir : Ayat 4-5)
Menela’ah jatuh bangun soldadu kesyaitanan sepanjang zaman memberikan kita ketenangan. Ia menghilangkan duka nestapa dan mengembalikan semula kita ke persada perjuangan dengan siasah baru dan seni lenggok silat perjuangan yang lebih kekar. Inshaa Allah, sebelum puas sang algojo menghirup selesa keberhasilannya, akan dating pusingan ke atasnya.

Nota : Petikan Ucapan Dasar Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan sempenan Muktamar Kali Ke-11 Dewan Pemuda PAS Kawasan Sandakan pada 31/08/2013 (Sabtu) baru2 ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan