Tiga elemen penting
dalam ibadat jana kekuatan, tingkat iman
Kehidupan manusia
dipenuhi ribuan kisah sebagai pengalaman dan pedoman. Begitu juga al-Quran yang
menghimpunkan antara 30 hingga 40 kisah kehidupan sebagai teladan untuk
persediaan menghadapi hari kiamat.
Antara perkara diberi
keutamaan oleh Allah SWT ialah jiwa manusia. Ada berjiwa kental dan ada
sebaliknya. Sifat berani, pengecut, keterbukaan dan keakuan atau hanya melihat
pada diri sendiri semata-mata, semuanya adalah daripada cetusan jiwa manusia.
“Dan demi jiwa dan
penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan
kejahatan dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwa
itu dan rugilah orang yang mengotorinya mengikut hawa nafsu melainkan setelah
datangnya wahyu” (Surah as-Syams, ayat 7-10)
Jelasnya, sifat
berani, kental, keterbukaan dan ingin melihat kebahagiaan kepada semua manusia
adalah sifat paling terpuji serta berkualiti tinggi.
Jiwa kental atau
sebaliknya dapat dinilai melalui kemampuan seseorang. Kata hikmat pernah
diungkapkan, “Jadilah seorang lelaki sehebat seribu lelaki, jika tidak mampu,
maka jadilah seorang lelaki. Tetapi janganlah kamu menjadi separuh daripada
lelaki kerana itu bukanlah lelaki sejati.”
Rasulullah SAW pernah
membuat penilaian terhadap kualiti iman Abu Bakar dalam sabda Baginda: “Jika
ditimbang iman Abu Bakar dan iman seluruh umat, maka beratlah timbangan Abu
Bakar.”
Baginda SAW
menjelaskan lagi dalam sabdanya bermaksud: “Abu Bakar tidak mendahului kamu
dengan banyaknya solat ataupun puasa, tetapi beliau mendahului kamu dengan apa
yang terpahat di hatinya.”
Sahabat bernama Amr As
ketika membuka kota Mesir, memohon bantuan 4,000 tentera daripada Khalifah Umar
Al-Khattab. Namun, Khalifah Umar hanya menghantar empat orang. Apabila ditanya,
beliau menjawab: “Sesungguhnya aku menghantar seseorang yang lebih baik
daripada seribu tentera. Demi Allah, Tuhan sekalian alam, suara yang dimiliki
mereka adalah bersamaan 4,000 bala tentera.”
Wujud manusia
berkualiti
Ini menjelaskan kewujudan
manusia yang berkualiti dalam kalangan masyarakat bukanlah sesuatu yang
mustahil. Namun, mereka yang memiliki jiwa pengecut juga ada seperti dijelaskan
Allah SWT melalui kisah Nabi Musa dan Bani Israel.
Kisah bermula selepas
Nabi Musa diselamatkan Allah SWT daripada kekejaman Firaun. Dalam keadaan kaki
yang masih basah dengan air Laut Merah, Allah SWT berfirman: “Musa berkata,
wahai kaumku, masuklah ke bumi yang suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah
kepada kamu dan janganlah kamu berpaling kerana ia akan merugikan kamu. Mereka
(Bani Israel) berkata:
“Wahai Musa,
sesungguhnya di dalamnya ada orang yang sangat kuat dan kejam. Kami tidak akan
memasukinya selagi mereka berada di sana.” (Surah al-Maidah, ayat 21-22)
Kisah Talut dan Jalut
yang dipaparkan melalui kisah penindasan terhadap Bani Israel. Antara mereka
yang berani iaitu Talut. Mereka menuntut berjuang, namun hanya 313 yang
melepasi ujian daripada Allah SWT, antaranya pemuda berumur 16 tahun iaitu Nabi
Daud.
Hanya bilangan kecil
berjaya bersama Talut adalah mereka yang berkualiti tinggi. Mereka menempah
kejayaan ketika berhadapan tentera apabila Nabi Daud membunuh Jalut. Inilah
kejayaan hasil daripada disiplin, kesabaran tinggi serta keberanian luar biasa.
Sayyid Qutb menekankan
aspek pendidikan spiritual dalam pendidikan ketenteraan kerana ia adalah
peradaban bagi manusia. Dunia hari ini didominasi perkara bersifat material. Ia
hanya dapat dibendung dengan pendidikan rohani.
Untuk menjana kekuatan
dan keberanian jiwa memerlukan beberapa panduan iaitu membina kekuatan melalui
ibadat kerana amalan bersifat ubudi akan membina kekuatan jiwa. Setiap ibadat
mesti mempunyai tiga elemen penting iaitu ilmu, kefahaman dan penghayatan.
Latihan bersaing
antaranya istiqamah pada solat Subuh berjemaah, riadah harian untuk fizikal,
susun jadual membaca setiap minggu, berdoa dan memasang niat sebelum melakukan
sesuatu pekerjaan.
Kita juga mestilah
menjaga tujuh sunnah Nabi SAW setiap hari iaitu tahajud, membaca
al-Quran, jangan tinggalkan masjid khususnya pada waktu Subuh dan
Asar, menjaga solat Dhuha, bersedekah, memelihara
wuduk dan beristighfar.
Melakukan kerja
kemasyarakatan kerana ia amalan Nabi dan solihin. Nabi Musa membantu golongan
yang lemah seperti kisah bantuan Baginda kepada dua wanita (anak Nabi Syuib)
untuk mengambil air dari perigi yang dikerumuni kaum lelaki gagah perkasa.
Nabi Khidir pula
membantu membangunkan tembok usang yang hampir roboh kepunyaan dua orang anak
yatim untuk menyelamatkan harta itu daripada jatuh kepada mereka yang tidak
bertanggungjawab.
Sahabat Nabi Muhammad
SAW pula, sentiasa melakukan kerja sukarelawan demi menyebarkan kebaikan dan
menyeru manusia kepada agama umpama kisah pembinaan Masjid Quba’ di Madinah.
Tak tuntut balasan
Al-Arqam bin Abi
al-Arqam menyediakan ruang rumahnya untuk Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwah
Islamiah di Makkah tanpa menuntut sebarang balasan di dunia dan lain-lain kisah
dalam al-Quran.
Jadikanlah diri ikhlas
dalam semua perkara dan bersedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa
mengharapkan ganjaran. Marilah kita berusaha meningkatkan keimanan supaya tidak
terputus proses tarbiah.
Oleh : Zamanuddin Jusoh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan